PEMILIK gerai martabak yang cuai sehingga tertinggal cebisan kain di dalam makanan tersebut sudah dikenakan kompoun, demikian tegas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Ujarnya, KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) sudah menjalankan siasatan lanjut dan mendapati kecuaian semasa pengendalian makanan menyebabkan kehadiran cebisan kain pengelap dalam martabak itu. "Beberapa kesalahan lain yang dikenal pasti telah dilakukan pemilik gerai termasuk tidak membuat pengasingan yang jelas untuk bahan mentah dan makanan yang dimasak, menggunakan kain pengelap yang tidak bersih dan pengendali makanan tidak memakai pakaian pelindung diri dengan sempurna. "Justeru, tindakan penguatkuasaan diambil terhadap gerai yang menjual makanan itu dengan mengeluarkan satu notis kompaun di bawah Peraturan 32(1)(b) Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu. ARTIKEL BERKAITAN: Jual makanan, terjual sekali pelaris? Wanita pelik martabak beli di bazar tak boleh potong, rupanya ada ‘inti’ kain buruk Tegas KKM, pihaknya memandang serius aduan yang tular di media sosial mengenai pencemaran makanan selepas penemuan kain dalam martabak yang dibeli di Bazar Ramadan Desa Pandan, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Katanya lagi, KKM sentiasa menjalankan pemantauan dan pemeriksaan di semua gerai bazar Ramadan seluruh negara dengan 10,570 premis bazar Ramadan diperiksa setakat ini. "KKM ingin mengingatkan kepada semua peniaga premis makanan termasuk di bazar Ramadan untuk meningkatkan tahap kebersihan dan keselamatan makanan di premis masing-masing bagi mengelakkan sebarang pencemaran silang dan kehadiran bendasing dalam makanan yang dijual. "Cuaca panas yang sedang melanda negara ketika ini juga boleh menyebabkan pembiakan bakteria yang lebih pantas dan menyebabkan makanan cepat basi dari kebiasaan. "Peniaga makanan yang didapati tidak mematuhi kehendak di bawah Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya boleh dikenakan tindakan denda tidak melebihi RM 100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali," katanya. KKM juga menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan mengutamakan keselamatan makanan sepanjang Ramadan ini dalam memilih apa sahaja juadah berbuka, sebelum membeli. Pengguna yang mempunyai sebarang kemusykilan sebarang isu keselamatan makanan, boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melayari laman sesawang http://moh.spab.gov.my serta facebook Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) www.facebook.com/bkkmhq. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube