POLIS memaklumkan suspek insiden tembakan di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 akan direman pada 9.30 pagi Selasa. Suspek, Hafizul Hawari, 38, akan dibawa ke Mahkamah Kota Bharu untuk mendapatkan perintah tahanan reman, malah satu sidang media juga akan diadakan pada hari sama. Perkara itu dimaklumkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan pada Isnin. "Suspek dalam keadaan sihat dan okay secara fizikalnya. Bagi kita masa untuk kumpul segala maklumat sebelum kita kongsi dengan pihak media. "Esok pukul 9.30 pagi kita akan membuat sidang media. Bagi kita jalankan siasatan dulu," ujarnya. ARTIKEL BERKAITAN: Suspek bergelut dengan polis sebelum ditahan, pistol dirampas Terdahulu, mStar melaporkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan penahanan Hafizul di Kota Bharu pada pukul 3 petang. Untuk rekod, Hafizul melepaskan tembakan ke arah isterinya Farah Md Isa atau Farah Cie di balai ketibaan KLIA 1 Ahad lalu. Hafizul membakar beberapa mercun sebelum melepaskan tembakan ke arah isterinya yang juga pemilik agensi pelancongan dari jarak dekat. Pengawal peribadi Farah berjaya menyelamatkannya tetapi terkena tembakan di perut. Hafizul kemudian melarikan diri ke keretanya, yang diletakkan di Blok C tempat letak kereta lapangan terbang. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube