suria

Suspek bergelut dengan polis sebelum ditahan, pistol dirampas

Hafizul ditahan di Kota Bharu pada Isnin.

SUSPEK insiden tembakan di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 bergelut dengan polis sebelum ditahan pada pukul 3 petang Isnin.

Menurut laporan media tempatan yang memetik sumber, suspek Hafizul Hawari, 38, ditahan di hadapan Hospital Pakar Perdana, Kota Bharu yang terletak beberapa meter dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.

"Ketika ditahan berlaku pergelutan dan suspek seorang diri," kata sumber.

Suspek ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Kelantan.

Ketika tangkapan, polis turut merampas sepucuk pistol daripada suspek.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak sempat lari jauh, lelaki cuba tembak isteri ditahan di Kota Bharu

Terdahulu, mStar melaporkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan penahanan Hafizul di Kota Bharu pada pukul 3 petang.

Untuk rekod, Hafizul melepaskan tembakan ke arah isterinya Farah Md Isa atau Farah Cie di balai ketibaan KLIA 1 Ahad lalu.

Hafizul membakar beberapa mercun sebelum melepaskan tembakan ke arah isterinya yang juga pemilik agensi pelancongan dari jarak dekat.

Pengawal peribadi Farah berjaya menyelamatkannya tetapi terkena tembakan di perut.

Hafizul kemudian melarikan diri ke keretanya, yang diletakkan di Blok C tempat letak kereta lapangan terbang.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain