suria

Allahyarham Rezaudeen beritahu bapa nak pencen awal, mahu luangkan masa bersama anak

Allahyarham Wan Rezaudeen Kamal bersama bapa saudaranya.

SALAH seorang daripada 10 mangsa yang terkorban dalam nahas helikopter di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut, Perak pernah meluahkan hasrat untuk bersara awal.

Menurut sepupu rapat kepada Allahyarham Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin yang dikenali sebagai Bob Ringgo, perkara itu diceritakan oleh bapa arwah ketika pertemuan sempena Aidilfitri baru-baru ini.

"Saya tak berkesempatan bertemu dengan arwah pada raya lalu kerana arwah bertugas di Sabah.

"Saya sembang-sembang dengan mak dan ayahnya saja. Bapanya ada cakap, arwah pernah beritahu nak minta pencen awal. Arwah nak luangkan lebih banyak masa dengan anak dia.

2658128

Gambar terakhir Allahyarham (bulatan merah) yang juga salah seorang kru Skuadron 503 pesawat HOM AW139 sebelum berlepas dari Kota Kinabalu ke Lumut, Perak.

"Mak arwah pula seronok bercerita pasal cucunya iaitu anak arwah yang berusia lima tahun," ceritanya yang juga bekas penyampai Suria FM kepada mStar.

Menurut Bob, dia sama sekali tidak menyangka video nahas helikopter yang ditonton di laman sosial rupa-rupanya melibatkan salah seorang ahli keluarganya.

"Saya hanya sedar nama salah seorang mangsa seperti nama sepupu saya. Saya terus telefon mentua untuk meminta kepastian tapi belum ada pengesahan ketika itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada yang terselamat... 10 maut dalam nahas 2 helikopter bertembung di Lumut

ARTIKEL BERKAITAN: Salah seorang mangsa nahas 2 helikopter bertembung di Lumut suami sepupu Eyra Hazali

"Apabila nampak namanya, bercampur baur perasaan saya antara sedih dan sukar percaya," ujarnya.

Tambah Bob, Allahyarham yang merupakan anak sulung daripada tiga adik-beradik mempunyai personaliti yang menyenangkan, periang dan sentiasa mempamerkan senyuman.

Apabila nampak namanya, bercampur baur perasaan saya antara sedih dan sukar percaya.

BOB RINGGO

SEPUPU

Dalam pada itu menurut Bob, salah seorang sepupu rapatnya sudah bersama-sama dengan keluarga Allahyarham di Hospital Angkatan Tentera Pangkalan TLDM Lumut untuk membuat pengecaman.

"Setakat ini keluarga sedang menunggu isteri Allahyarham dari Johor.

"Selepas itu jenazah akan dibawa ke Hospital Ipoh bagi tujuan bedah siasat. Mohon sedekahkan Al-Fatihah buat Allahyarham," kongsinya lagi.

pic 2

Bob menyifatkan sepupunya, Allahyarham Lt Kdr Wan Rezaudeen Kamal seorang yang periang dan murah dengan senyuman.

Allahyarham Wan Rezaudeen Kamal, 38, meninggalkan seorang balu dan seorang anak lelaki berusia lima tahun.

Terdahulu, negara digemparkan dengan nahas dua helikopter TLDM yang bertembung ketika sedang membuat latihan lintas hormat sempena sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90, kira-kira pukul 9.32 pagi Selasa.

Daripada kesemua 10 mangsa yang terkorban, tiga daripadanya berada dalam helikopter jenis Fennec M502-6, manakala tujuh lagi berada di dalam helikopter HOM M503-3.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain