suria

Anggota TLDM sedang berenang cedera terkena serpihan helikopter - “Kebetulan dia dalam kolam”

Seorang anggota TLDM yang sedang berenang cedera selepas terkena serpihan pesawat.

SEORANG anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) cedera selepas terkena serpihan helikopter yang terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, Perak, pagi Selasa.

Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, mangsa kebetulan sedang berenang di dalam kolam ketika salah sebuah helikopter yang bertembung di udara terhempas.

"Tiada orang luar mengalami kecederaan, melainkan seorang sahaja yang kebetulan dia sedang berenang di kolam renang tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Kejadian betul-betul atas kepala... Saksi rakam helikopter bertembung dekat kolam renang TLDM

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada yang terselamat... 10 maut dalam nahas 2 helikopter bertembung di Lumut

"Anggota terbabit terkena serpihan daripada helikopter Fennec dan mengalami kecederaan ringan. Kebetulan anggota terbabit berada dalam kolam renang ketika kejadian berlaku," ujarnya.

Khalid berkata demikian ketika ditemui dalam sidang media di lokasi kejadian.

Terdahulu, mStar melaporkan dua helikopter iaitu jenis HOM (M503-3) dan Fennec (M502-6) bertembung di Pangkalan TLDM Lumut.

Pertembungan itu menyebabkan sebuah helikopter terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.

Sebuah lagi pesawat jenis HOM terhempas di tangga Stadium TLDM Lumut.

Sepuluh anggota yang berada dalam kedua-dua helikopter malang berkenaan disahkan terkorban.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain