suria

Tiada yang terselamat... 10 maut dalam nahas 2 helikopter bertembung di Lumut

Keadaan salah satu pesawat yang terhempas. -Foto FB KPKT Malaysia

KESEMUA10 mangsa yang terlibat dalam nahas dua helikopter Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dilaporkan maut.

Tiga mangsa berada dalam helikopter jenis Fennec M502-6 manakala tujuh lagi berada di dalam helikopter HOM M503-3.

Dua pesawat malang itu berlepas dari Padang Sitiawan, Perak pada pukul 9.03 pagi untuk latihan lintas hormat sempena sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90.

ARTIKEL BERKAITAN: 2 helikopter ATM bertembung di udara sebelum terhempas

Sementara itu, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) cawangan komunikasi strategik dalam satu kenyataan mengesahkan insiden nahas dua helikopter terbabit.

"Insiden ini melibatkan seramai 10 orang iaitu masing-masing tujuh kru HOM TLDM dan tiga kru Fennec TLDM

"Kesemua mangsa disahkan terkorban di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Angkatan Tentera Pangkalan TLDM Lumut untuk proses pengecaman," ujar TLDM.

Helikopter HOM terhempas di tangga Stadium TLDM Lumut manakala pesawat Fennec terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut

Selain itu Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Perak menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.50 pagi membabitkan kemalangan helikopter tersebut.

Menurut Komander Operasi Kanan, Suhaimy Mohd Suhail, pasukan bomba dari dua buah balai berhampiran iaitu balai bomba dan penyelamat (BBP) Seri Manjung dan Sitiawan digerakkan ke lokasi kejadian.

"Jentera yang dibawa bersama adalah Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) serta kenderaan utiliti Toyota Hilux," jelasnya.

Menerusi video yang tular, dapat dilihat dua helikopter terbabit bertembung sesama sendiri ketika sedang membuat penerbangan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain