SUDAH terlalu kerap kita dipaparkan dengan perkongsian mengenai isu premis makanan kotor di media sosial. Terbaharu, seorang individu berkongsi pemandangan menjijikkan ketika dia bersama seorang rakan menjamu selera di sebuah restoran. Menerusi video yang dirakam individu itu, kelihatan seekor tikus sedang asyik bermain di dalam besen yang digunakan bagi meletakkan pinggan mangkuk. Lokasi besen tersebut yang bersebelahan dengan tong sampah dan diletakkan di hadapan kedai memudahkan lelaki berkenaan melihat situasi menjijikkan itu. Apa yang membuatkan individu tersebut sedikit kesal adalah kelibat tikus berkenaan hanya disedarinya selepas menikmati hidangan yang dipesan. "Besar (tikus). Aku dekat kedai * Jalan Ipoh. Korang kalau nak makan sini, tak payahlah. "Aku dah takkan makan sini lagi... percayalah. Ini yang terakhir. Alamak spoil la," demikian katanya dalam video berkenaan. ARTIKEL BERKAITAN: Kembang tekak! Nasi kukus dah nak licin, baru perasan makan lauk tikus Difahamkan, restoran tersebut dikendalikan pekerja warga asing. Video berdurasi 55 saat itu menjadi tular selepas dikongsikan oleh akaun @malaysiamostviral di laman X. Sehingga kini ia meraih 68,000 jumlah tontonan dan dibanjiri komen netizen yang menggesa pihak berkaitan mengambil tindakan ke atas premis berkenaan. "Budaya pengotor dah sampai Malaysia. Selagi tak ada orang buat report, sampai bila-bila tak ada tindakan. "Mana pihak kesihatan? Tolong pantau mana-mana kedai makan ni. "Korang janganlah makan dekat kedai yang tiada logo A," demikian antara komen netizen. Sementara itu, ada netizen yang turut membuat pautan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menggesa tindakan tegas diambil terhadap premis berkenaan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube