suria

Bos pengawal peribadi mangsa tembak mahu buka tabung kecemasan... Simpati ada anak OKU, bakal timang cahaya mata keempat

Farah (tengah) mendedahkan pengawal peribadinya itu akan menimang cahaya mata keempat tidak lama lagi.

AHLI Perniagaan Farah Cie menzahirkan rasa syukur apabila pengawal peribadinya yang terkena tembakan pada 14 April lalu, kini sudah sedar.

Menerusi perkongsian di Facebook, Farah yang merupakan isteri kepada suspek kejadian tersebut turut bercerita tentang latar belakang mangsa iaitu Muhammmad Nur Hadith atau Along.

"Untuk pengetahuan semua, Along merupakan pengawal peribadi utama saya dalam menjaga keselamatan saya sejak awal lagi. Dia mempunyai tiga cahaya mata dan akan menimang cahaya mata yang keempat. Anak sulung Along iaitu Adam adalah OKU (orang kurang upaya).

"Kebiasaannya Along yang akan mengangkat Adam untuk urusan bersihkan badan. Apabila Along sakit, isterinya tidak larat untuk mengangkat anaknya Adam yang kini sudah berumur 13 tahun.

"Apabila isteri Along ke hospital, emak isterinya yang akan menjaga anak-anak Along di rumah Along," ujarnya.

Menurut Farah lagi, Along juga rajin melakukan kerja sambilan kerana dia merupakan anak pertama daripada tujuh beradik.

"Along merupakan anak sulung daripada tujuh orang adik-beradik. Along sangat mementingkan kekeluargaan dan merupakan individu yang sentiasa mengambil berat perihal keluarga.

farah2

Farah bersyukur pengawal peribadinya yang ditembak 14 April lalu sudah sedarkan diri.

"Along rajin bekerja sambilan bagi menyara keluarganya. Along sangat ringan tulang dalam membantu isterinya," ceritanya lagi.

Dalam hantaran sama, Farah berkata dia masih belum berjumpa Along selepas mangsa mula sedarkan diri, namun sempat menziarahi isterinya beberapa hari lalu.

"Alhamdulillah beberapa hari lepas saya berkesempatan untuk berjumpa isteri Along di Hospital Cyberjaya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tembakan di KLIA 1: Pengawal peribadi sudah sedar

"Ketika itu, Along masih tidak sedarkan diri dan pihak hospital tidak benarkan orang luar ziarah kecuali ahli keluarga.

"Ayah Along pesan kepada saya jika ada jemaah atau sahabat-sahabat yang ke Makkah, minta tolong doakan Along di depan Kaabah.

"Insya-Allah kami akan buka tabung kecemasan untuk bantu keluarga Along. Mohon doakan ya," ujar arah lagi.

Farah turut berkongsi foto ketika dia mewakili The Mahabbah yang menyampaikan sumbangan buat ahli keluarga pengawal peribadinya itu.

Pada 14 April lalu, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 digemparkan dengan kejadian seorang lelaki cuba menembak isterinya di balai ketibaan.

Bagaimanapun tembakan itu terkena Muhammmad Nur Hadith ketika melindungi majikannya.

Polis menahan suspek berumur 38 tahun, Hafizul Harawi di Kota Bharu, Kelantan pada petang keesokan hari.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain