suria

“Awas jangan campak nanti meletup” - Pusat Kargo KLIA gempar bungkusan ‘ancaman bom’

Siasatan di Pusat Kargo KLIA susulan bungkusan didakwa berisi bom. -Foto ihsan Polis KLIA.

PUSAT Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang digemparkan dengan penemuan bungkusan dan nota amaran yang didakwa boleh mengakibatkan letupan.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Azman Shari'at berkata, kejadian berlaku kira-kira 1.30 petang Khamis.

"Kami menerima panggilan daripada operator mesin pengimbas di Pusat Kargo KLIA.

"Individu itu mendakwa satu bungkusan telah diimbas dan imej menunjukkan ia mempunyai bateri dan beberapa wayar," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, pengendali itu juga memaklumkan terdapat tulisan pada bungkusan yang memberitahu 'Awas jangan campak nanti meletup ini bom'.

"Semakan mendapati bungkusan itu dialamatkan kepada seorang individu di Limbang, Sarawak.

"Kami segera mengerahkan Unit Anjing Pengesan (K9) ke tempat kejadian, dan ia tidak mengesan sebarang bahan letupan," ujarnya.

Menurut Azman, pihaknya kemudian memanggil Unit Pemusnah Bom (UPB) Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertindak mengikut prosedur operasi standard.

Jelasnya lagi, bungkusan itu berjaya dimusnahkan menggunakan unit robotik, dan tiada letupan berlaku.

"Kami kemudian meneliti bungkusan itu dan menemui komputer riba dan kabel pengecas di dalamnya.

"Kami juga membuat semakan dengan pengirim dan mengesahkan kandungan bungkusan itu adalah komputer riba," katanya. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain