SEORANG lelaki yang menghidap penyakit bipolar mengakui sedar dan menyesali tindakannya membuat hantaran jelik membabitkan korban nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) baru-baru ini. Pengakuan yang dibuat peniaga dalam talian itu membuatkan dia didenda RM23,000 oleh Mahkamah Sesyen Taiping di Perak pada Jumaat. Hakim Nabisha Ibrahim menjatuhi Saifuddin Shafik, 35, hukuman itu selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan ke atasnya. Dia juga berdepan hukuman penjarakan tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan. Pada prosiding hari ini Saifuddin turut membuat permohonan maaf atas perbuatannya kepada ahli keluarga mangsa, pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan orang awam, secara terbuka di dalam mahkamah. Malah dia akan menyahaktifkan akaun X miliknya untuk mengelak perkara itu daripada berlaku pada masa depan. Saifuddin didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik menerusi perkhidmatan aplikasi X dengan menggunakan nama profil 'Saifuddin Shafik @saishafik' dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain. Dia dituduh melakukan perbuatan itu pada pukul 1.15 tengah hari 23 April lalu, dan kandungan itu dibaca di Gedung Sari Jalan Harmoni, Pusat Bandar Bagan Serai pada pukul 6.30 petang hari sama. Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a)(ii) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum bawah Seksyen 233(3) akta sama. Ia memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan, dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan. Terdahulu, Pengarah Pendakwaan Perak, Wan Azimah Yaacob, memohon hukuman berat dikenakan supaya perkara itu tidak berulang dan menjadi mesej kepada tertuduh serta orang ramai untuk menggunakan media sosial secara berhemah, tambahan pula kesalahan itu telah melukakan hati pengadu, waris dan seluruh rakyat negara ini. Peguam, Amin Othman yang mewakili Saifuddin, bagaimanapun merayu hukuman berbentuk denda dikenakan atas alasan tertuduh yang berpendapatan RM2,000 hingga RM2,500, perlu menanggung isteri dan ibu bapa. Terdahulu, tragedi pukul 9.32 pagi 23 April lalu berlaku ketika raptai Perbarisan Hari TLDM Ke-90 sehingga mengorbankan 10 mangsa. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube