suria

Baru dibebaskan tahun lalu, ibu anak satu dipenjara sekali lagi... Mengaku salah curi dua tabung surau

Mencuri tabung masjid adalah satu kesalahan jenayah. -Gambar hiasan

SEORANG wanita dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka pada Jumaat selepas mengaku salah melarikan dua buah tabung surau, bulan lepas.

Majistret Nabilah Nizam menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Nur Hidayah Abdullah, 25, yang membuat pengakuan tersebut sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh dengan niat didapati telah melakukan kesalahan memecah masuk Surau Ar Rahmah, Jalan Limbongan di Melaka Tengah untuk mencuri wang tunai berjumlah RM700 milik rumah ibadat berkenaan.

Kesalahan itu dilakukan pada pukul 9 malam pada 23 April, dan pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan kedua, Nur Hidayah mencuri peti derma milik Surau Selekoh di Jalan Padang Temu, Kampung Padang Temu, di Melaka Tengah kira-kira pukul 2 petang, 24 April lalu.

Bagi pertuduhan kedua, dia berdepan hukuman mengikut Seksyen 380 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Nur Hidayah, yang tidak diwakili peguam, merayu kepada mahkamah untuk hukuman lebih ringan dengan berkata dia mempunyai anak di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri bagaimanapun memohon hukuman setimpal diberikan dengan mengambil kira tertuduh mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan curi dan pernah dipenjarakan selama enam bulan tahun lalu.

Mahkamah kemudian memerintahkan hukuman penjara lapan bulan bermula dari tarikh dia ditangkap pada 21 April, bagi kedua-dua pertuduhan selepas mendengar hujah kedua belah pihak. -The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain