SEBUAH pesawat ringan ditemukan terhempas di sebuah ladang di Felda Gunung Besout 2 Tambahan, Sungkai, Perak pada pagi Sabtu. Menerusi rakaman yang dibuat seorang lelaki yang secara kebetulan berada berdekatan lokasi nahas, kelihatan sebahagian badan pesawat terbenam di dalam tanah. Namun keseluruhan badan pesawat dilihat masih berada dalam keadaan baik. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) "Ada kapal terbang terhempas ni, Allahuakhbar," ujar lelaki yang membuat rakaman video berkenaan. Lelaki itu kemudiannya mendekati badan pesawat selepas mendengar suara seorang wanita. Wanita yang berpakaian seperti juruterbang itu memberitahu terdapat dua individu menaiki pesawat malang terbabit. ARTIKEL BERKAITAN: 2 helikopter ATM bertembung di udara sebelum terhempas "Thank you so much. Ada dua orang (penumpang). Tak boleh (keluar). Tolong telefon ambulans," ujar wanita itu. Ia dipercayai berlaku kira-kira 9.55 pagi. Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri memaklumkan kedua-dua mangsa yang terselamat telah dikeluarkan pasukan bomba. Seterusnya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan dua individu itu adalah jurulatih penerbangan, Kapten Shahrul Imran, 30-an, dan pelatih, Le Ho Jia, 20-an. Kedua-dua mereka terselamat selepas pesawat Cesna 172 daripada Layang Layang Flying Academy itu terhempas berhampiran Ladang MAIP di Sungkai. Operasi mengeluarkan mangsa nahas pesawat ringan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. Dalam pada itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan nahas pesawat ringan di Felda Gunung Besout, Sungkai adalah pesawat jenis Cessna 172N Skyhawk. Menurusi satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata pesawat dengan pendaftaran 9M-ADA itu dikendalikan oleh Akademi Penerbangan Layang-Layang. Tambah Kapten Norazman, pesawat yang dinaiki dua individu itu berlepas pada 7.54 pagi dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh dan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) menerima panggilan terakhir di Slim River pada 9.35 pagi. “Tindakan susulan telah diambil oleh Pegawai Kawalan Trafik Udara bertugas setelah pesawat gagal melaporkan kedudukan selanjutnya di Bidor, Perak. “Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautika Kuala Lumpur (KLARCC) CAAM di KLATCC diaktifkan pada pukul 10.15 pagi setelah menerima maklumat berkenaan nahas tersebut bagi tujuan koordinasi operasi mencari dan menyelamat. "Kedua-dua individu berkenaan telah diselamatkan,” katanya. Siasatan lanjut akan dilaksanakan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) di bawah Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube