PASANGAN suami isteri ditahan polis selepas anak mereka mendakwa dirogol bapanya yang berusia 40an sejak lapan tahun lalu sehingga melahirkan dua anak. Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata polis menerima laporan daripada mangsa berusia 20 tahun itu pada 11 malam, Rabu lalu. "Polis terima satu pengaduan mangsa mengatakan dia menjadi mangsa rogol bapa kandungnya sejak berusia 12 tahun. "Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku sejak tahun 2016 sehinggalah kejadian terbaru pada tahun 2024. "Semua perbuatan itu dilakukan dalam bilik rumahnya di Kampung Chuah, Port Dickson, Negeri Sembilan," katanya dalam kenyataan pada Ahad. Menurut Aidi, perbuatan terkutuk berkenaan pernah diceritakan kepada ibu mangsa namun tidak diendahkan. "Ibu pengadu tidak pedulikan aduan yang dibuat mangsa walaupun anak perempuannya sudah melahirkan dua orang anak. "Bertindak atas aduan mangsa, polis menahan pasangan itu pada 3 Mei lalu," katanya. Aidi berkata, semakan rekod lampau mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah narkotik. "Suspek sudah dibawa ke Mahkamah Seremban dan tahanan reman telah dibenarkan selama lima hari bermula 4 Mei hingga 8 Mei ini," katanya. Kes disiasat di bawah Seksyen 376B kerana sumbang mahram yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari enam tahun dan tidak lebih dari 20 tahun. Jika disabitkan dengan kesalahan, suspek juga bakal dikenakan hukuman sebatan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube