DIKEMASKINI POLIS menahan seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai ada kaitan dengan kes simbah asid membabitkan pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim. Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata suspek berusia lingkungan 20-an. "Suspek akan direman hari ini untuk membantu siasatan lanjut. "Motif serangan juga masih dalam siasatan," kata Hussein ketika dihubungi pada Isnin. ARTIKEL BERKAITAN: Ada saksi nampak penyerang simbah Faisal Halim guna asid - “Dia kena masa nak turun kereta” Tambahnya, polis setakat ini sudah mengambil kenyataan daripada tiga individu termasuk mangsa. "Kita juga akan memanggil beberapa lagi saksi untuk merakam keterangan mereka hari ini," katanya. Terdahulu, dalam kejadian pada petang Ahad, Faisal mengalami luka teruk akibat disimbah asid oleh seorang individu tidak dikenali di sebuah pasaraya di Damansara, Selangor. Individu berkenaan yang bermotosikal juga sempat mengucapkan ‘good luck’ sebelum menyimbah asid kepada pemain pasukan Selangor FC itu. Sementara itu dalam perkembangan terbaharu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata suspek direman selama dua hari untuk membantu siasatan. Ujarnya, suspek dikesan berdasarkan nombor pendaftaran motosikal yang dikenal pasti semasa serangan itu. Beliau turut menggesa orang ramai agar tidak membuat spekulasi berhubung kejadian berkenaan. "Kita tidak dapat mengesahkan sama ada serangan ke atas Faizal ada kaitan dengan serangan ke atas seorang lagi pemain bola sepak Akhyar Rashid, yang diserang dan disamun di Kuala Terengganu minggu lalu. "Kami berharap tiada pihak akan membuat spekulasi mengenai kejadian itu,"ujarnya. Razarudin turut menafikan serangan terhadap kedua-dua pemain bola sepak itu ada kaitan dengan bookie bola sepak. - THESTAR Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube