SEORANG lelaki berumur 44 tahun dijatuhkan hukuman penjara 36 tahun dan 40 sebatan atas kesalahan merogol dan melakukan amang seksual terhadap anak saudaranya berusia 14 tahun. Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli menjatuhkan hukuman itu selepas dia mengaku bersalah atas semua lima pertuduhan pada Rabu. Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan bagi satu pertuduhan merogol, manakala penjara lapan tahun bagi tiga lagi pertuduhan merogol berserta penjara dua tahun berserta dua tahun pengawasan polis bagi kesalahan amang seksual Hakim memerintahkan semua hukuman penjara berjalan berasingan dan menetapkan tertuduh dikenakan sebatan maksimum 24 kali untuk keseluruhan pertuduhan mengikut Kanun Prosedur Jenayah. Mohd Zul Zakiqudin berkata hukuman itu adalah selepas mengambil kira kejadian berlaku banyak kali, hubungan tertuduh dengan mangsa dan pengakuan bersalah tertuduh yang menjimatkan masa mahkamah. Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 14 tahun sebanyak empat kali iaitu pada Januari, Februari, Mac dan Mei 2023 di dua lokasi berasingan iaitu di sebuah restoran dan di sebuah rumah di Losong, Kuala Terenggaanu. Bapa kepada dua orang anak itu didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan tidak kurang 10 sebatan. Dia juga dituduh melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di rumah sama pada Disember tahun lalu, mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin memohon tertuduh dikenakan hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai memandangkan kesalahan itu adalah serius selain kesalahan seksual kini semakin berleluasa. Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya berkata dia telah menyesal atas kesalahan dilakukannya dan memohon hukuman ringan kerana ingin menjaga ibunya yang sudah tua. - The Star Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube