suria

PTPTN seru semarakkan amalan wakaf, terima sumbangan syarikat korporat untuk myWaqafPTPTN

PTPTN menerima replika kad sumbangan myWaqafPTPTN berjumlah RM50,000 daripada UOB Islamic Asset Management Sdn Bhd.

PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerima sumbangan untuk myWaqafPTPTN daripada beberapa syarikat korporat sempena Majlis Mesra Bersama Pelanggan 2024, yang berlangsung pada Rabu.

myWaqafPTPTN merupakan dana wakaf pendidikan tinggi, hasil kerjasama PTPTN dengan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) bagi mempelbagaikan sumber dana pembiayaan PTPTN selain melalui pinjaman sedia ada.

myWaqafPTPTN bertujuan membantu mahasiswa dalam bentuk biasiswa pendidikan tinggi yang akan mengurangkan bebanan bayaran balik pinjaman.

Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, PTPTN menyeru sokongan semua pihak berkepentingan, rakan-rakan strategik dan para pelanggan bagi menyemarakkan amalan berwakaf melalui myWaqafPTPTN.

“Paling menarik, setiap sumbangan kepada myWaqafPTPTN layak mendapat potongan cukai 10 peratus daripada pendapatan agregat di bawah Subseksyen 44 (11C) Akta Cukai Pendapatan 1967,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Mesra Bersama Pelanggan 2024 yang berlangsung di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur.

Syarikat-syarikat korporat yang memberi sumbangan ialah UOB Islamic Asset Management Sdn Bhd, Saturna Sdn Bhd, Uda Holdings Berhad, Principal Islamic Asset Management Sdn Bhd, Ninja Logistics Sdn Bhd dan Bank Muamalat Malaysia Berhad, yang mana merupakan antara penyumbang terawal sejak myWaqafPTPTN dilancarkan pada 11 Mac lalu.

Selain itu, turut diadakan ialah penyampaian sijil penghargaan kepada 10 rakan strategik yang menyumbang kepada galakan penabungan dan bayaran balik pinjaman bagi 2023 dan 2024.

Antaranya, KPT, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kerajaan Negeri Sarawak, Kerajaan Negeri Sabah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Norliza (tengah) menyerahkan replika kad berjumlah RM10,000 kepada pemenang hadiah utama Cabutan Siri WOW! Gong Xi Ang Pow 2024.

Norliza (tengah) menyerahkan replika kad berjumlah RM10,000 kepada pemenang hadiah utama Cabutan Siri WOW! Gong Xi Ang Pow 2024.

Pada majlis tersebut, PTPTN turut meraikan pemenang bagi kempen Cabutan Siri WOW! Gong Xi Ang Pow.

Kempen ini merupakan cabutan siri pertama bagi Cabutan WOW! Simpan SSPN 2024 yang diadakan bermula 1 Januari 2024 sehingga 29 Februari 2024 di mana ia menawarkan hadiah lumayan berupa wang tunai berjumlah RM100,000.

Norliza berkata, melalui tabungan dalam Simpan SSPN, pelbagai manfaat dan keistimewaan disediakan kepada pendeposit.

“Antaranya pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, dividen yang kompetitif, simpanan yang dijamin kerajaan dan patuh syariah,” ujarnya.

Majlis Mesra Bersama Pelanggan 2024 diadakan sebagai menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang selama ini banyak memberikan sokongan dan kerjasama padu dalam meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada PTPTN, agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Pelanggan PTPTN yang diraikan terdiri daripada kementerian, agensi kerajaan, agensi swasta, Sahabat PTPTN dan rakan strategik serta pengamal media.

Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid, Lembaga Pengurusan PTPTN serta Pengurusan Tertinggi KPT dan PTPTN.

Norliza (berdiri enam dari kiri) bersama pelajar-pelajar istimewa yang menerima sumbangan akaun Simpan SSPN Prime.

Norliza (berdiri enam dari kiri) bersama pelajar-pelajar istimewa yang menerima sumbangan akaun Simpan SSPN Prime.

Pada majlis sama, PTPTN memberikan sumbangan CSR berjumlah RM5,000 dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime kepada 10 orang pelajar istimewa iaitu lima pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan lima pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

UKM dan USIM telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan PTPTN dan sumbangan ini merupakan salah satu bentuk kerjasama strategik, tanda keprihatinan PTPTN dalam aspek pendidikan.

PTPTN juga sentiasa komited agar masyarakat Malaysia mengutamakan perancangan kewangan untuk kelangsungan pendidikan tinggi anak-anak.

Menjadi hasrat PTPTN untuk mentransformasikan minda masyarakat daripada hanya bergantung kepada pinjaman kepada membudayakan penabungan agar anak-anak tidak dibelenggu hutang setelah tamat pengajian.

Pembukaan akaun atau penambahan simpanan boleh dibuat secara dalam talian melalui aplikasi myPTPTN dengan lebih mudah, cepat dan selamat.

Maklumat lanjut, layari portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain