SEORANG lelaki yang dipercayai kurang siuman ditemukan maut selepas terjatuh dari sebuah bangunan restoran makanan segera di Tawau, Sabah. Menurut Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, mayat lelaki itu ditemukan dalam keadaan tertiarap tanpa pakaian kira-kira pukul 12 tengah hari, Ahad. Sebelum kejadian, terdapat saksi yang melihat lelaki berkenaan berbogel di kawasan luar sebuah premis makanan segera. "Saksi kemudian memaklumkan pengurus mengenai kehadiran lelaki itu dan terus menutup pintu belakang kerana bimbang lelaki tersebut masuk ke dalam. "Namun tidak lama kemudian beliau dimaklumkan oleh seorang pekerja bahagian pandu lalu bahawa ada seseorang jatuh di luar bangunan berhampiran kaunter pandu lalu. "Apabila saksi keluar didapati orang yang jatuh itu adalah lelaki yang dilihatnya berbogel di bangunan tersebut," ujarnya menerusi satu kenyataan pada Isnin. Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tawau untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube