suria

Dagu tiba-tiba terbelah kena benang di tengah highway, cuba tarik jari pula terhiris

Foto kecederaan seorang penunggang motosikal yang dimuat naik ke laman X.

TULAR kisah seorang penunggang motosikal cedera di bahagian dagu kerana terlanggar benang yang melintang di tengah jalan.

Kejadian dikatakan berlaku di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (Suke) selepas susur keluar Taman Kosas, Ampang, Kuala Lumpur menghala ke plaza tol Bukit Teratai pada Isnin.

"Aku tak tahu macam mana benang tu boleh ada di tengah lebuh raya. Tiba-tiba dagu aku terhiris kena benang tu, nasib baik aku sempat tarik benang berkenaan guna jari. Jari ni pun ada terluka sikit.

"Pihak Suke dah ambil keterangan aku tentang kejadian semalam. Harap dapat diperbanyakkan rondaan untuk pantau keadaan jalan selepas ni," kata mangsa melalui satu hantaran di laman X pada Selasa.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata pihaknya mengambil maklum kejadian itu yang dimuat naik ke media sosial.

Namun Mohd Azam berkata pihaknya setakat ini masih belum menerima sebarang laporan berkaitan insiden terbabit.

"Kami meminta mangsa untuk tampil membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran dan saksi kejadian juga diminta membantu siasatan.

"Pihak polis akan menjalankan siasatan awal dan mengadakan perjumpaan bersama pengendali lebuh raya untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Orang ramai turut dinasihati supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai insiden itu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain