suria

Empat lelaki suspek kes samun, cubaan larikan wanita akhirnya dicekup

Perbuatan jenayah boleh mengundang rasa gusar dalam masyarakat. -Gambar hiasan

POLIS menahan empat suspek dipercayai terlibat kes samun dan cubaan culik seorang wanita di Taman Lagenda Putra. Johor Bahru dalam kejadian pada 5 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tan Seng Lee berkata empat lelaki warga tempatan berusia antara 21 hingga 40 tahun itu ditahan kira-kira pukul 10.50 pagi hingga 4.50 petang pada Isnin, 13 Mei.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota polis D9 Kontinjen Johor bersama pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kulai membuat tiga serbuan di lokasi berbeza sekitar Johor Bahru.

“Hasil serbuan, kita berjaya menahan empat suspek itu yang dipercayai terbabit dengan kes samun dan cubaan melarikan wanita.

"Dalam serbuan itu juga polis turut merampas sebuah Honda Civic berserta alat kawalan jauh, empat telefon bimbit dan sebuah tablet,” katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Tambah Seng Lee, siasatan awal mendapati semua suspek mengaku mengatur dan merancang untuk melakukan cubaan samun ke atas mangsa.

Hasil semakan turut mendapati suspek masing-masing mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan penyalahgunaan dadah.

"Ujian saringan awal air kencing ke atas semua suspek mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine,” jelasnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 365/511 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain