suria

Tiada lagi perkongsian sedih, akaun media sosial ibu Zayn Rayyan ‘ghaib’ daripada radar

Akaun milik ibu Zayn Rayyan sudah dinyahaktifkan. - Foto kanan (Data Source)

PENAHANAN ibu bapa kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin pada Jumaat yang mati dibunuh sudah cukup membuatkan ramai pihak tertanya-tanya.

Kini pengguna media sosial semakin bingung apabila mendapati akaun media sosial milik ibu Zayn Rayyan juga lesap secara tiba-tiba.

Hasil semakan juga mendapati akaun TikTok dan Instagram Ismanira Abdul Manaf, 29, sudah dinyahaktifkan.

Bagaimanapun, akaun Facebook dengan nama pengguna ‘Izz Manaf’ masih lagi wujud namun hantaran terakhir di akaun tersebut adalah pada Februari lalu.

Ismanira sebelum ini begitu aktif berkongsi mengenai anak-anaknya di TikTok dan Instagram termasuklah rantaian hantaran sedih mengenai kematian Zayn Rayyan.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu bapa Zayn Rayyan sangat terkejut ditangkap, peguam juga tidak jangka - “Kita tak tahu siapa bakal dituduh”

Dalam beberapa posting yang turut dipetik mStar sebelum ini, Ismanira sering meluahkan perasaan rindu terhadap kanak-kanak tersebut selain sering melawat kubur Allahyarham yang terletak di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara, Selangor.

Malah dalam hantaran Februari lalu, keluarga ini turut mendapat perhatian pengguna media sosial apabila menyambut hari jadi Zayn Rayyan yang ke-7 di pusara kanak-kanak itu.

Terdahulu, Ismaniza dan suami, Zaim Ikhwan Zahari, 29, direman selama tujuh hari mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi melengkapkan siasatan bermula 1 Jun.

Pada 6 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai, selepas dilaporkan hilang di kawasan kediamannya itu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain