PERKEMBANGAN baharu dalam siasatan kes pembunuhan Zayn Rayyan Abdul Matiin akhirnya membawa kepada tangkapan dan penahanan reman ibu bapa kanak-kanak autistik itu. Menurut peguam Mahmud Abdul, pasangan suami isteri berkenaan direman selama tujuh hari mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi melengkapkan siasatan. “Ada perkembangan terbaharu daripada siasatan polis yang mana semalam (Jumaat) mereka menahan kedua-kedua suspek atau orang yang disyaki (OYDS). “Buat masa ini kita tidak boleh membuat sebarang spekulasi, jadi saya mohon semua pihak bersabar dan mendoakan agar keluarga ini kuat menerima ujian tersebut. “Ia masih dalam tempoh reman, ia sekadar melengkapkan siasatan. Kita tak tahu lagi siapa yang bakal dituduh,” katanya di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Selangor pada Sabtu. ARTIKEL BERKAITAN: Ibu bapa Zayn Rayyan direman 7 hari ARTIKEL BERKAITAN: Ibu bapa Zayn Rayyan ditahan, ramai terkejut 'plot twist' kes bunuh kanak-kanak autisme Kata Mahmud, tangkapan dan reman ke atas mereka dibuat berdasarkan perkembangan terbaharu daripada siasatan pihak polis dan dibenar reman tujuh hari bermula Sabtu hingga 7 Jun ini. Dalam pada itu Mahmud berkata, pasangan suami isteri itu kelihatan sangat terkejut ketika disangka suspek dalam kes bunuh anak mereka. “Saya juga tak jangka perkara ini malah saya percaya satu Malaysia terkejut dengan penemuan berkenaan. Tapi saya yakin pihak polis memohon reman ini untuk melengkapkan siasatan. “Kita akan memberi ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan dengan telus dan terperinci demi keadilan,” ujarnya. Untuk rekod, Zayn Rayyan, 6, ditemukan meninggal dunia di sebatang anak sungai, sehari selepas dia dilaporkan hilang di kawasan kediamannya di Apartment Idaman, Damansara Damai. Laporan bedah siasat yang dikeluarkan pada 7 Disember mengesahkan kanak-kanak itu mati dibunuh kerana terdapat kesan kecederaan pada leher serta badannya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube