POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh berhubung insiden seorang anggota pengiring orang kenamaan yang didakwa memukul seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) di Kuala Lumpur, pada 28 Mei lalu. Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan tersebut dibuat berdasarkan perkembangan terkini yang diperolehi. "Pegawai-pegawai yang terbabit dalam kes ini akan dipanggil ke Bukit Aman untuk membantu siasatan. "Langkah ini diambil untuk memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh dan semua pihak yang terbabit dapat memberikan keterangan mereka," katanya dalam kenyataan, pada Jumaat. Razarudin berkata, keutamaan dalam setiap siasatan adalah untuk memastikan bahawa tiada pelaku yang terlepas daripada tanggungjawab atas perbuatan mereka. Jelasnya lagi, tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pegawai yang didapati bersalah. "PDRM komited untuk memelihara integriti dan memastikan bahawa tindakan sewajarnya diambil untuk mempertahankan keadilan dan melindungi hak-hak individu yang terjejas terutama golongan OKU," katanya. ARTIKEL BERKAITAN: Kes pukul pemandu e-hailing OKU: TMJ gesa siasatan menyeluruh ARTIKEL BERKAITAN: Polis siasat pengawal peribadi kerabat diraja, disyaki pukul pemandu e-hailing OKU Terdahulu, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail pada Jumaat menggesa siasatan menyeluruh berhubung insiden membabitkan seorang pemandu e-hailing yang didakwa dipukul oleh pengawal keselamatan. Tunku Mahkota Ismail bertitah, baginda telah dimaklumkan mengenai kejadian yang berlaku di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 28 Mei lalu. "Saya telah dimaklumkan pada hari berikutnya dan dengan segera saya menggesa pasukan pengiring keselamatan Polis Diraja Malaysia untuk bekerjasama dengan pihak penyiasatan. "Saya tidak membenarkan sebarang tindakan atau ugutan yang menyalahi undang-undang. Saya menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat secara menyeluruh berkaitan kejadian seorang pegawai polis pengiring yang didakwa melakukan perbuatan berbahaya," titah baginda dalam kenyataan. Media sebelum ini melaporkan, pemandu e-hailing OKU berkenaan mendakwa dipukul pengawal pengiring ketika menunggu penumpang di sebuah hotel. Pemandu berusia 46 tahun itu mendakwa ditumbuk di kepala ketika diminta untuk mengalihkan kenderaannya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube