suria

Kes pukul pemandu e-hailing OKU: TMJ gesa siasatan menyeluruh

Tunku Mahkota Ismail menggesa siasatan menyeluruh berhubung insiden yang berlaku di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menggesa siasatan menyeluruh berhubung insiden membabitkan seorang pemandu e-hailing yang didakwa dipukul oleh pengawal keselamatan.

Tunku Mahkota Ismail bertitah, baginda telah dimaklumkan mengenai kejadian yang berlaku di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 28 Mei lalu.

"Saya telah dimaklumkan pada hari berikutnya dan dengan segera saya menggesa pasukan pengiring keselamatan Polis Diraja Malaysia untuk bekerjasama dengan pihak penyiasatan.

"Saya tidak membenarkan sebarang tindakan atau ugutan yang menyalahi undang-undang. Saya menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat secara menyeluruh berkaitan kejadian seorang pegawai polis pengiring yang didakwa melakukan perbuatan berbahaya," titah baginda dalam kenyataan, pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis siasat pengawal peribadi kerabat diraja, disyaki pukul pemandu e-hailing OKU

Baginda juga berharap agar pihak berkuasa akan mengambil tindakan mengikut undang-undang dan memberi keadilan sebaiknya kepada mangsa.

"Justeru, saya menggesa semua pihak membenarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan. Saya juga sedar ada gerakan mengheret institusi diraja dengan menggunakan insiden ini, tetapi mengaitkan tindakan anggota keselamatan luar dengan diri saya dan seluruh institusi diraja adalah tidak wajar," titah baginda lagi.

Terdahulu, pemandu kenderaan e-hailing yang mendakwa telah dipukul seorang pengawal keselamatan rombongan kenamaan di lobi sebuah hotel ibu negara pada Selasa, telah menarik balik laporannya pada hari yang sama.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, individu tersebut, yang juga OKU telah membuat laporan polis kedua untuk menarik balik laporan polis pertama.

"Pada 28 Mei, pukul 9.59 malam pengadu telah membuat laporan polis kedua menyatakan telah menyelesaikan perkara yang berlaku secara baik, serta tidak mahu memanjangkan kes,” katanya dalam satu kenyataan.

Media sebelum ini melaporkan, pemandu e-hailing OKU berkenaan membuat laporan polis selepas mendakwa dipukul pengawal pengiring ketika menunggu penumpang di sebuah hotel.

Pemandu berusia 46 tahun itu mendakwa ditumbuk di kepala ketika diminta untuk mengalihkan kenderaannya.

Susulan itu, mangsa kemudian membuat laporan polis selepas menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain