suria

[V] “Saya dianiaya, ini semua fitnah”- Bapa Zayn Rayyan

SUASANA di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Selangor kecoh apabila bapa dan ibu kanak-kanak autistik Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, yang meninggal dunia akibat dibunuh di Damansara Damai dibawa untuk permohonan lanjutan reman pada pagi Jumaat.

“Saya dianiaya, ini semua fitnah,” kata bapa arwah kanak-kanak itu ketika tiba di Mahkamah Majistret sambil dikawal ketak oleh polis.

Kehadiran ramai ahli keluarga turut mencetuskan ketegangan di luar mahkamah apabila suspek dibawa masuk ke bahagian dalam.

Peguam, Fahmi Abd Moin yang mengesahkan dia dilantik bagi mewakili ibu bapa kepada kanak-kanak itu pula tiba di mahkamah, pada 8.25 pagi.

Di luar mahkamah, keluarga kepada ibu bapa Zayn berkumpul sambil memegang kain rentang bertulis 'Justice Zaim dan Isma'.

Malah ibu kepada bapa arwah Zayn dilihat menjerit meminta keadilan untuk anak lelakinya itu.

"Kami mahu pembunuh yang sebenar, ibu tahu Zaim tidak salah," jerit wanita itu.

Susulan itu, reman terhadap ibu dan bapa Zayn Rayyan disambung selama enam hari dan akan tamat pada 12 Jun ini.

Pada 6 Disember tahun 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai, Selangor, pada 10 malam.

Mayat mangsa ditemukan oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya.

Mangsa sebelum itu dilaporkan hilang di kawasan kediamannya sebelum ditemukan terbaring di sungai itu yang jaraknya kira-kira 200 meter dari kediamannya.

Polis mengesahkan mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain