suria

Mahmud Jumaat umum masih wakili ibu Zayn Rayyan, fokus cari keadilan

Mahmud semasa membuat perbincangan bersama ahli keluarga ibu bapa Zayn Rayyan. -Foto kiri

PEGUAM kepada ibu Zayn Rayyan Abdul Matiin, Mahmud Abdul Jumaat dari Tetuan Emir Mahmud & Co memaklumkan dia masih mewakili wanita itu yang kini ditahan reman bagi membantu siasatan kes bunuh kanak-kanak itu.

Perkara ini dimaklumkan Mahmud menerusi kenyataan di Facebook, yang dibuat berdasarkan pertimbangannya selepas berjumpa dengan keluarga tersebut.

“Untuk pengetahuan semua, saya masih mewakili ibu arwah Zayn Rayyan. Kami telah hadir ke Mahkamah tempoh hari mewakili Isma (ibu Zayn Rayyan).

“Ini adalah atas pertimbangan saya untuk mewakili ibu Zayn Rayyan selepas berjumpa dengan keluarga mereka,” katanya pada Isnin.

Selain itu, dia turut menjelaskan mengenai kenyataan dibuat datuk mangsa bahawa tiada pelantikan peguam secara rasmi dibuat oleh keluarga itu.

"Maaf kepada semua yang menanti penjelasan saya. Saya juga seperti anda semua lebih menginginkan keadilan buat arwah Zayn Rayyan yang dibunuh, diseksa secara kejam.

“Kerana itulah saya agak hairan berkenaan dengan butiran (point) pertama kenyataan media yang dibuat oleh datuk arwah tempoh hari mengenai tiada pelantikan peguam secara rasmi oleh keluarga ke atas saya.

“Perlu ke sampai nak buat kenyataan media? Seolah-olah sengaja melakukan provokasi terhadap saya,” katanya.

Dia seterusnya memberi penjelasan dalam bentuk kronologi mengenai apa yang berlaku di antara dirinya dengan keluarga arwah serta dakwaan dia adalah lantikan NGO.

ARTIKEL BERKAITAN: Keluarga lantik peguam baharu untuk wakili ibu bapa Zayn Rayyan

ARTIKEL BERKAITAN: Peguam ibu bapa arwah Zayn Rayyan tarik diri bermula Selasa

“Pada 31 May saya telah dihubungi oleh keluarga bapa Zayn Rayyan pada pukul 11 malam (Jumaat) dikhabarkan bahawa ibu bapa arwah Zayn Rayyan (Zaim dan Isma) telah ditahan pada pagi Jumaat dan akan dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya untuk permohonan reman keesokan harinya.

“Saya ingin tekankan bahawa ini bukan inisiatif NGO tetapi inisiatif keluarga bapa Zayn Rayyan sendiri. Entah dari mana cerita bahawa saya ni dari NGO??

“Masa bila saya nak dapatkan sign surat perlantikan rasmi?” katanya.

Tambahnya, dia dengan suci hati berniat untuk membantu kerana simpati mengenangkan nasib keluarga yang kehilangan Zayn Rayyan dan kini direman.

“Waktu itu saya tidak terfikir ini bakal menjadi satu isu yang akan dibangkitkan oleh pihak keluarga bapa arwah Zayn Rayyan.

“Walhal tiada kewajipan untuk surat perlantikan peguam secara rasmi bagi kes jenayah. Asalkan pihak OYDS atau wakil keluarga OYDS sudah setuju untuk melantik peguam tersebut sudah memadai.

“Apatah lagi sebelum saya masuk ke dalam mahkamah, telah saya sahkan dengan keluarga ibu bapa sendiri untuk memberikan amanah ini kepada saya bagi bantahan reman.

“Tidak perlu dibincangkan lagi bahawa saya memang ada di Mahkamah pada hari tersebut, hanya kami peguam yang dipanggil oleh keluarga mereka. Kalau tak lantik kami, kami dipanggil untuk jadi apa?” katanya.

Kemudian pada Ahad, pihak keluarga iaitu datuk Zayn Rayyan pula mahu berjumpa dengannya kerana tidak berada di mahkamah ketika reman.

Justeru Mahmud dengan ikhlas mengajak mereka untuk berjumpa dan berbincang di pejabatnya pada Isnin (3 Jun) walaupun merupakan hari cuti umum.

Selepas perjumpaan tersebut, pada keesokan hari Mahmud membuat keputusan untuk tidak mewakili mereka lagi atas sebab-sebab tertentu, seperti mana kenyataan yang diberikan kepada media.

“Tiba-tiba saya menerima berita bahawa saya tidak pernah dilantik untuk menjadi peguam ibu bapa Zayn Rayyan. Bagi saya ini adalah fitnah! Saya datang Mahkamah tempoh hari tersebut untuk apa? Kenapa hubungi saya malam itu untuk datang ke Mahkamah?

“Mereka datang ke pejabat saya tempoh hari untuk apa? Bukan itu sahaja, keluarga Zaim terutamannya ibu Zaim sentiasa menghubungi saya sepanjang tempoh itu. Meminta nasihat dan bertanya pendapat saya sebagai peguam,” katanya.

Bagaimanapun Mahmud berkata dia telah dihubungi oleh datuk arwah Zayn Rayyan melalui WhatsApp pada Ahad tentang isu ini dan memohon maaf tentang apa yang berlaku.

“Saya harap isu perlantikan peguam tidak lagi berbangkit selepas ini.

“Apa pun saya ucapkan terima kasih kepada keluarga Isma atas pencerahan yang dibuat dengan mengesahkan bahawa kami sememangnya membantu keluarga mereka dari awal kes.

“Orang berbudi kita berbahasa. Kalau tidak mahu ucapkan terima kasih sekalipun sekurang-kurangnya janganlah kita sakiti hati orang membantu kita.

“Saya rasa cukuplah kita berbincang tentang isu perlantikan peguam ini. Saya harap kita semua boleh terus berdoa agar arwah Zayn Rayyan mendapat keadilan,” katanya.

Sebelum ini, Mahmud membuat penarikan diri secara drastik bermula 4 Jun lalu atas faktor-faktor tertentu.

Pengesahan peguam keluarga tersebut yang menarik diri itu mengejutkan rakyat Malaysia selepas pasangan terbabit ditahan di Puncak Alam, Selangor mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan berkaitan jenayah bunuh.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain