suria

Bapa dipenjara 8 bulan gara-gara pukul, paksa 2 anak remaja jalan itik waktu malam

Tertuduh dipenjara lapan bulan selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan. -Gambar hiasan

KEDENGARAN tidak masuk akal, namun seorang lelaki dipenjara lapan bulan gara-gara memukul serta memaksa dua anaknya berjalan itik tanpa henti selama empat jam.

Lelaki berusia 35 tahun itu memukul dua anaknya menggunakan jaring yang diikat pada raket badminton.

Mangsa, remaja perempuan berusia 15 tahun serta remaja lelaki yang berumur 13 tahun adalah anak kandung tertuduh.

Kesalahan-kesalahan itu dilakukan di sebuah unit kediaman Program Perumahan Rakyat (PPR) Kepong Utara, antara jam 9 malam pada 30 Mei sehingga 1 Jun.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Penganggur itu bagaimanapun dikenakan hukuman penjara lapan bulan selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan yang dibacakan di hadapan hakim Datin Fadzlin Suraya Mohd Suah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin.

Dia diperintahkan menjalani hukuman serentak bagi setiap pertuduhan bermula tarikh tangkapannya 1 Jun lalu.

Menurut tertuduh yang tidak diwakili peguam, dia mempunyai tiga lagi anak yang masih kecil dan turut menghidap penyakit kencing manis, jantung dan tekanan darah tinggi.

Dia memohon mahkamah mengurangkan hukuman namun Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuwan Abd Latip meminta dia diberi hukuman setimpal agar kes berkenaan menjadi pengajaran buatnya serta orang ramai.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain