suria

Wanita maut dibunuh suami… Ditemui terbaring atas katil dengan 12 kesan kelar, tinggal anak usia 6 bulan

Video tular memaparkan pasukan polis membawa mayat mangsa.

TRAGIS! Seorang wanita ditemukan maut dengan 12 kesan kelar di bahagian leher dan tangan kanan dalam keadaan terbaring di atas katil rumahnya di Bandar Botanik, Klang di Selangor.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, makluman kejadian diterima kira-kira pukul 7 pagi Jumaat selepas pihaknya dihubungi abang suspek.

"Hasil bedah siasat mangsa didapati terdapat 12 luka hiris dan luka kelar antaranya di bahagian telinga kiri, pipi kiri, dagu, leher, bahu kanan, lengan kanan dan jari manis," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Susulan daripada itu sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah D9 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan telah menahan suami mangsa pada hari yang sama.

Tambah beliau, suspek berusia 31 tahun yang juga bekerja sebagai pemandu lori direman tujuh hari sehingga 14 Jun untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Hoong Fong berkata, siasatan awal mendapati suspek dan isterinya mempunyai masalah rumah tangga sejak perkahwinan dua tahun lalu.

Kedua-dua mereka mempunyai seorang anak perempuan berusia enam bulan.

Ujarnya, siasatan masih dijalankan dan beberapa saksi akan dipanggil untuk dirakam keterangan termasuk ahli keluarga terdekat sebelum kertas siasatan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya dalam tempoh terdekat.

Sebelum itu, kejadian itu turut tular di aplikasi X menerusi rakaman video berdurasi 33 saat oleh penduduk di pangsapuri terbabit yang memaparkan pasukan polis mengangkat mayat mangsa masuk ke dalam kenderaan pacuan empat roda.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain