suria

Panggilan terakhir, guru sempat berkongsi sesuatu dengan suami sebelum nahas

Saifullizan (kiri) ketika bertemu dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Ibam, Nazri Ahmad di hospital. Foto Sinar Harian

SEORANG suami sempat menerima panggilan terakhir daripada isterinya yang maut dalam kemalangan bas persiaran yang membawa rombongan guru dalam kejadian awal pagi Ahad.

Suami kepada mangsa, Allahyarhamah Hasnatul Adilah Hassan, 48, iaitu Saifullizan Abu, 53, berkata, isterinya yang bertugas sebagai guru sempat membuat panggilan video bersamanya setengah jam sebelum kejadian.

Menurutnya, arwah menghubunginya kira-kira pukul 12 tengah malam bagi memaklumkan rombongannya masih dalam perjalanan dan dia mahu tidur.

ARTIKEL BERKAITAN: Berat hati ikut rombongan, bapa maut dalam nahas rupanya bersara bulan depan

ARTIKEL BERKAITAN: Nahas rombongan guru: Kerajaan Melaka salur bantuan kepada mangsa

Memetik Sinar Harian, dia bagaimanapun memberitahu, isterinya tidak pasti lokasinya ketika itu berikutan keadaan di luar gelap sebelum menamatkan panggilan.

"Saya terkejut dan tidak menyangka kemalangan itu berlaku hingga meragut nyawanya," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Muadzam Shah di Muadzam Shah pada Ahad.

Saifullizan berkata, dia hanya mengentahui tentang kejadian kira-kira pukul 3 pagi selepas dihubungi seorang anaknya memberitahu isteri dan seorang lagi anak, Mohd Farouq, 12, yang turut serta dalam rombongan itu terbabit kemalangan.

Jelasnya lagi, kali terakhir mereka bertemui petang Sabtu di rumah sebelum isterinya, guru Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram Masjid Tanah, Melaka menyertai rombongan bertolak ke Terengganu untuk lawatan penanda aras sekolah.

Bapa kepada lima anak itu berkata, selesai proses bedah siasatan, jenazah akan dibawa pulang ke Kampung Ramuan China Besar, Masjid Tanah, Melaka untuk urusan pengebumian.

Hasnatul merupakan salah seorang daripada tiga individu terkorban dalam nahas itu termasuk pemandu bas Mohd Adi Hasan, 29, dan pembantu operasi SK Jeram, Hamzah Ahmad, 60.

Dalam kejadian itu, bas yang membawa 39 penumpang temasuk dua pemandu terbalik di cerun jalan selepas hilang kawalan dan melanggar sebuah treler.

Bas berkenaan dilaporkan dalam perjalanan membawa guru dari SK Jeram bersama anak mereka ke Terengganu untuk menghadiri program penanda aras.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain