suria

Nahas rombongan guru: Kerajaan Melaka salur bantuan kepada mangsa

Nahas bas persiaran yang membawa rombongan guru. Foto Bernama

KERAJAAN negeri Melaka menghantar pegawainya ke Hospital Tengku Ampuan Afzan dan Hospital Muadzam Shah di Pahang untuk membantu mangsa kemalangan bas persiaran yang membawa rombongan guru, dalam kejadian awal pagi Ahad.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, beliau telah mewakilkan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Setiausaha Politiknya, Abdul Hakim Abdul Wahid serta Pengarah Pendidikan Melaka, Mohammad Ghazali Ahmad untuk menziarahi dan memberikan bantuan segera kepada semua mangsa.

"Saya juga ingin mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga mangsa," katanya pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Panggilan terakhir, guru sempat berkongsi sesuatu dengan suami sebelum nahas

Ab Rauf berkata, Allahyarham Hamzah Ahmad, 60, dan Hasnatul Adilah Hassan, 48, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram di Masjid Tanah, Melaka meninggal dunia dalam kejadian itu.

Menurut beliau, segala urusan jenazah akan diuruskan oleh Majlis Agama Islam Melaka (Maim).

"Kerajaan negeri berduka dengan tragedi yang menimpa, semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman," katanya.

Dilaporkan, tiga maut termasuk pemandu bas selepas bas persiaran yang dinaiki 39 penumpang, termasuk dua pemandu, hilang kawalan dan melanggar sebuah treler di Kilometer 126 Jalan Kuantan-Segamat, dekat simpang tiga ke Bahau di Rompin.

Dalam kejadian awal pagi Ahad, bas berkenaan dalam perjalanan membawa guru dari SK Jeram, Masjid Tanah bersama anak untuk menghadiri program penanda aras di Terengganu.

Seramai 36 mangsa lain dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan dan Hospital Muadzam Shah. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain