FENOMENA La Nina, yang biasanya membawa keadaan cuaca lebih lembap, dijangka bermula antara Julai dan September, kata Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia). Ketua Pengarahnya Muhammad Helmi Abdullah berkata fenomena itu lazimnya mencapai kemuncaknya menjelang akhir tahun dan berterusan pada awal tahun depan. “La Nina boleh bertahan antara lima hingga 18 bulan. Berdasarkan model ramalan antarabangsa, La Nina akan datang dijangka berada pada kekuatan lemah atau sederhana,” katanya. Muhammad Helmi, bagaimanapun, menegaskan bahawa setiap episod La Nina adalah unik dan mungkin memberikan hasil yang berbeza. “MetMalaysia akan terus memantau keadaan dengan teliti dan mengemas kini maklumat cuaca negara berdasarkan input terkini daripada pelbagai model cuaca,” katanya. Tambahnya, La Nina, bersama-sama dengan monsun timur laut, yang biasanya bermula pada bulan November, boleh memanjangkan keadaan cuaca lembap di sepanjang pantai timur semenanjung sehingga Mac tahun depan. ARTIKEL BERKAITAN: Pakar Ramal Malaysia Akan Kerap Alami El Nino “Ribut tropika juga dijangka lebih aktif di barat Lautan Pasifik semasa tempoh La Nina. Ini boleh mengakibatkan cuaca lembap di sepanjang pantai barat Sabah dan utara Sarawak,” katanya. Menurut Muhammad Helmi, MetMalaysia juga akan mengemas kini maklumat ini dari semasa ke semasa. Episod La Nina sebelum ini adalah pada 2020 dan hanya tamat awal tahun lalu. Ia sepatutnya hanya bertahan setahun. Dalam tempoh itu, Lembah Klang mengalami banjir besar pada Disember 2021 dan Mac 2022. Baling, Kedah juga mengalami banjir besar pada Julai 2022. - The Star. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube