suria

Berat hati ikut rombongan, bapa maut dalam nahas rupanya bersara bulan depan

Siti Zulaikha (berpelitup muka) ketika ditemui pemberita di Unit Forensik HTAA. Foto Sinar Harian

ANAK kepada pembantu operasi Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Masjid Tanah, Melaka, Allahyarham Hamzah Ahmad, 60, mendedahkan bapanya pada awalnya berat hati mengikuti rombongan bas yang terbabit dalam nahas awal pagi Ahad.

Anak sulung arwah, Siti Zulaikha, 25, berkata, bapanya kemudian berubah fikiran selepas dipujuk ahli keluarga memandangkan akan bersara pada bulan depan.

"Ayah akan pencen pada 7 Julai depan.

"Ayah jarang ke mana-mana dan dia pernah beritahu nak ternak ayam selepas pencen dan lebih banyak berada di masjid," katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan, pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Panggilan terakhir, guru sempat berkongsi sesuatu dengan suami sebelum nahas

ARTIKEL BERKAITAN: Nahas rombongan guru: Kerajaan Melaka salur bantuan kepada mangsa

Menurut Siti Zulaikha, dia mengakui terkejut apabila mengetahui bapanya maut dalam nahas yang berlaku awal pagi Ahad.

"Tidak sangka, ayah antara mangsa yang terkorban," katanya.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan dua anak perempuan, Siti Zulaikha dan Siti Wardah, 24.

Hamzah merupakan salah seorang daripada tiga individu terkorban dalam nahas itu termasuk guru SK Jeram, Allahyarhamah Hasnatul Adilah Hassan, 48, dan pemandu bas Mohd Adi Hasan, 29.

Dalam kejadian di Jalan Kuantan-Segamat, berhampiran simpang tiga Bahau, Muadzam Shah, bas yang membawa 39 penumpang temasuk dua pemandu terbalik di cerun jalan selepas hilang kawalan dan melanggar sebuah treler.

Bas berkenaan dilaporkan dalam perjalanan membawa guru dari SK Jeram bersama anak mereka ke Terengganu untuk menghadiri program penanda aras.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain