KETIKA kita berada dalam dunia di mana kebaikan tidak disedari, ia benar-benar memberi inspirasi untuk menyaksikan masih ada individu dan kumpulan yang begitu berdedikasi membawa perubahan berkekalan kepada komuniti tanpa mengira kaum, latar belakang atau kedudukan sosial. Menerusi penganjuran Star Golden Hearts Award (SGHA) edisi ke-10 oleh The Star, kita dapat menyaksikan masih ramai dalam kalangan rakyat Malaysia yang melakukan kebaikan setiap hari tanpa jemu. Usaha itu adalah bagi mencipta perubahan sosial yang positif dan memberi inspirasi kepada orang lain melalui komitmen mereka dalam melakukan kebaikan lebih besar dengan semangat perpaduan yang tidak berbelah bahagi. "Bersempena dengan ulang tahun ke-10, kami berbesar hati untuk memperkenalkan tema yang menggambarkan semangat kerjasama dalam membina masyarakat lebih inklusif, saksama dan saling hormat-menghormati. "Bertemakan slogan The Power of One, The Strength of Many, SGHA dengan bangganya menandakan pencapaian pemenang ke-100 dalam mengiktiraf wira tidak didendang di Malaysia. "SGHA sentiasa bertekad untuk mengangkat martabat dan menghargai mereka yang berjaya mencorak perubahan positif dalam masyarakat secara berkekalan," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Media Star Bhd (SMG), Chan Seng Fatt. Ketika kali pertama menemui masyarakat pada tahun 2015, SGHA menjadi mercu tanda dalam memberi penghormatan kepada mereka yang berterusan menabur kebaikan tetapi tidak menerima penghargaan yang sewajarnya. Dengan berlalunya masa, SGHA kini berkembang untuk menjadi program yang mengiktiraf sebarang kebaikan sama ada untuk jangka masa panjang atau pendek demi manfaat masyarakat secara keseluruhannya. Sama seperti tahun sebelumnya, seramai sepuluh pemenang akan dipilih oleh panel hakim daripada pelbagai latar belakang dan mempunyai pengalaman berkaitan aktiviti sosial. SGHA menyediakan hadiah wang tunai terkumpul berjumlah RM150,000, dengan setiap pemenang menerima RM15,000 berserta liputan media di pelbagai platform SMG untuk meningkatkan keterlihatan dan penjenamaan inisiatif sosial mereka. Pemenang akan turut menyertai Rangkaian Pemenang SGHA yang eksklusif, menawarkan peluang untuk mereka membentuk rangkaian dan kerjasama dengan pembuat perubahan pada tahun terdahulu. Orang ramai dijemput untuk mencalonkan wira yang menjadi pilihan sebagai penghargaan atas sumbangan mereka yang cukup luar biasa. Menurut Ketua Pegawai Kandungan SMG, Datin Paduka Esther Ng, SGHA didorong daripada kepercayaan mendalam terhadap kuasa komuniti dan kekuatan yang dimiliki seseorang individu terhadap kehidupan ramai orang. "Sebagai akhbar bahasa Inggeris yang terulung di Malaysia, platform kami menyediakan capaian yang tiada tandingan, membolehkan wira yang diraikan ini memperoleh keterlihatan dalam khalayak yang lebih luas. "Ini dapat diraih melalui publisiti yang tinggi, imej jenama yang dipertingkatkan serta kredibiliti untuk pemenang dan calon. "Anugerah ini bukan sahaja mengiktiraf inisiatif mereka tetapi turut memperkuat impak yang dibawa, menggalakkan lebih ramai menyokong usaha dan menyertai misi mereka dalam mengecapi perubahan sosial," kata Esther. Kategori SGHA diselaraskan dengan lima tunjang bertemakan kemampanan iaitu Pemerkasaan Komuniti, Pendidikan, Alam Sekitar dan Hidupan Liar, Kebajikan Sosial serta Bantuan Bencana dan Krisis. Dalam pada itu Chan berkata kategori terbabit seiring etos kemampanan SMG, selain selari dengan pendirian organisasi untuk membuat perubahan melalui pemerkasaan masyarakat dan membantu merealisasikan potensi penuh ahli komuniti. "Misi kami sebagai salah satu syarikat media terkemuka adalah untuk memastikan orang ramai mendapat maklumat dan inspirasi melalui kandungan yang disediakan. "Setiap prinsip tunjang ini mempunyai tujuan sama iaitu untuk memberikan semangat kepada orang ramai bagi mengejar matlamat hidup menerusi manfaat yang dikongsi bersama. "Individu, pertubuhan bukan kerajaan, perusahaan sosial dan masyarakat boleh dicalonkan atas usaha berterusan mereka yang sejajar dengan inisiatif sosial masing-masing,” katanya. Tambah Chan lagi sejak SGHA mula diperkenalkan, ia sudah mengiktiraf 90 wira yang berhati mulia. "Dengan mempamerkan pencapaian luar biasa wira masyarakat ini, kami berharap dapat menyumbang kembali kepada komuniti sambil memotivasikan orang ramai untuk melangkah ke hadapan dalam memacu perubahan. "Anugerah ini istimewa kerana ia juga menggalakkan budaya empati dan penglibatan proaktif, mengingatkan kita bahawa setiap individu mempunyai potensi untuk mendorong perubahan positif dan membuat pembaharuan dalam masyarakat.” ujar Chan. Orang ramai boleh mencalonkan individu dan organisasi pilihan mengikut kriteria yang digariskan di www.sgha.com.my mulai sekarang hingga 31 Julai 2024. Anugerah Star Golden Hearts ialah anugerah tahunan oleh The Star bertujuan mengiktiraf rakyat Malaysia yang menjadi wira masyarakat selain mengeratkan hubungan sesama komuniti tanpa menerima penghargaan setimpal. Program ini berada di bawah naungan Star Foundation yang merupakan badan amal Kumpulan Media Star Sdn Bhd. Maklumat lanjut mengenai Star Golden Hearts Award, boleh layari laman sesawang https://www.sgha.com.my/. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube