suria

Ibu Zayn Rayyan diarah lakon semula kejadian di rumah... Nampak polis bawa patung kanak-kanak

Kawalan ketat di sekitar Apartment Idaman.

MASUK hari ke-10 ibu bapa kepada kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin direman, kini tumpuan kembali terarah ke kediaman lama mereka di Damansara Damai, Selangor.

Difahamkan ibu Zayn Rayyan iaitu Ismanira Abdul Manaf, 29, dibawa ke kediaman di Blok R Apartment Idaman untuk melakonkan semula aksi kejadian.

Lokasi keluar masuk di kawasan terbabit dikawal ketat pasukan polis dengan dua sekatan.

Malah setiap pergerakan keluar masuk penduduk setempat akan turut diiringi pihak polis.

Suspek akan dibawa masuk ke kediaman dan lokasi mayat kanak-kanak berkenaan ditemukan yang terletak kira-kira 200 meter dari blok kediaman tersebut.

Anggota polis dilihat membawa patung kanak-kanak yang dipercayai digunakan sebagai model tubuh mangsa untuk tujuan lakonan semula.

Jumaat lalu, polis menyambung reman kedua-dua suspek bagi membolehkan siasatan lanjut diteruskan.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, pasangan itu akan direman enam hari lagi sehingga 13 Jun ini.

Suami isteri itu direman bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas mereka ditahan di sekitar Puncak Alam, 31 Mei lalu.

Pada 6 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartment Idaman, Damansara Damai, kira-kira 10 malam.

Mayat mangsa ditemukan oleh penduduk.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain