suria

Pasangan kekasih berdua-duaan nekad larikan diri, rempuh kereta peronda polis

Kereta peronda polis kemek dilanggar kenderaan pasangan cuba larikan diri.

PASANGAN lelaki dan wanita nekad melarikan diri dengan mengundurkan kenderaan pacuan empat roda sehingga merempuh kereta peronda Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Daerah Alor Gajah, Melaka.pada Jumaat.

Dalam kejadian sekitar pukul 9.45 malam itu, dua anggota polis sedang membuat rondaan pencegahan jenayah di Jalan Sg Tuang apabila mendapati sebuah kenderaan jenis Ford Ranger berada dalam keadaan mencurigakan di tempat gelap.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah dalam satu kenyataan memaklumkan anggota BPJKK tersebut memberhentikan kereta peronda di belakang kenderaan terbabit untuk pemeriksaan lanjut.

"Anggota peronda kemudiannya menyalakan lampu becon light ke belakang kenderaan Ford Ranger itu.

“Namun pemandunya enggan memberikan kerjasama dan bertindak melarikan diri dengan mengundurkan kenderaannya sehingga melanggar kereta pasukan polis.

“Suspek lelaki berusia 44 tahun itu bagaimanapun berjaya ditahan bersama seorang wanita berusia 25 tahun di dalam kenderaan itu,” katanya.

Tambahnya, kejadian itu menyebabkan kenderaan polis kemek pada pintu hadapan sebelah kiri penumpang serta cermin tingkap pecah dan pintu tidak boleh dibuka.

Menurutnya kedua-dua suspek yang berasal dari Masjid Tanah ditahan bagi membantu siasatan.

“Pemeriksaan mendapati mereka tidak mempunyai rekod jenayah dan ujian saringan air kencing juga negatif.

“Kedua-duanya ditahan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam,” ujarnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain