suria

Keropok racun tikus akibatkan kematian kanak-kanak, pekebun direman 6 hari

Paket keropok yang digantung di pagar kebun didakwa mengandungi racun tikus.

SEORANG lelaki direman selama enam hari susulan insiden dua beradik termakan keropok yang didakwa mengandungi racun tikus dalam kejadian pada Ahad lalu.

Pada Rabu, salah seorang daripada mangsa yang berusia tiga tahun meninggal dunia.

Perintah tahanan reman terhadap pekebun berusia 33 tahun itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Sesyen Kulim, Mirza Mohamad.

ARTIKEL BERKAITAN: Luluh hati ibu, seorang daripada 2 anak termakan keropok racun tikus meninggal dunia

ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi makan jajan! 2 beradik kritikal di hospital, rupanya ada racun tikus

Ia bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta 611 pengabaian terhadap kanak-kanak dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan iaitu kelakuan cuai berkenaan benda beracun.

Dilaporkan, salah seorang mangsa, Muhammad Akil Syauqi Nur Sufian, 3, menghembuskan nafas terakhir pada 8.30 pagi Rabu.

Terdahulu, dilaporkan Muhammad Akil dan adiknya Muhammad Luth Syauqi, 2, kritikal selepas termakan keropok didakwa dicampur racun tikus di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim di Kedah.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Azizul Mohd Khairi dalam satu kenyataan berkata, kejadian itu disedari ibu mangsa yang melihat anaknya muntah di rumah sebelum membawa mereka ke Klinik Kesihatan Malau dan kemudian ke Hospital Kulim (HK) untuk rawatan lanjut.

Hasil siasatan mendapati dua beradik itu dipercayai mengambil paket keropok segera tergantung di dawai besi pagar kebun itu yang mengandungi racun bagi tujuan memerangkap monyet.

Menurut Azizul, kedua-dua beradik yang berada dalam keadaan kritikal kemudian dirujuk ke Hospital Besar Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain