suria

Suspek tolak isteri jatuh gaung direman tujuh hari, pernah disiasat cederakan abang di Baling

Suspek dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah reman.

SEORANG peniaga yang ditahan kerana didakwa menyerang, mencekik dan menolak isterinya ke dalam gaung di KM31.2 Lebuhraya Timur-Barat (JRTB) antara Gerik dan Jeli, Perak pada 27 Julai lalu, direman tujuh hari.

Majistret Savinder Singh membenarkan permohonan perintah reman lelaki berusia 39 tahun itu sehingga Isnin depan (12 Ogos).

Permohonan reman itu diluluskan bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita berjaya merangkak naik selepas ditolak suami ke dalam gaung, suspek ditahan kerana cubaan bunuh

Suspek tiba di Mahkamah Majistret Gerik pada Selasa dengan memakai kemeja-T lengan panjang, diiringi pegawai dan anggota polis pada 8.50 pagi, seperti dilaporkan Sinar Harian.

Difahamkan, suspek yang sebelum ini ditahan di ibu pejabat polis daerah Baling di Kedah pada Rabu lalu direman enam hari untuk disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana didakwa mencederakan abangnya.

Suspek ditahan semula oleh IPD Gerik selepas tempoh remannya tamat pada Isnin.

Sebelum ini, media melaporkan suspek ditahan polis kerana didakwa menyerang, mencekik dan menolak isterinya ke dalam gaung berikutan pertengkaran mulut.

Mangsa berusia 32 tahun terjatuh ke dalam gaung sedalam 10 meter dan berjaya menyelamatkan diri dengan merangkak ke tepi jalan, di mana dia ditemui orang awam kira-kira pukul 2 petang.

Akibat kejadian itu, mangsa difahamkan mengalami kecederaan di pinggang dan telah menerima rawatan di Hospital Taiping. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain