MALANG tidak berbau, seorang budak lelaki berusia lapan tahun ditemukan rentung dalam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Telisai dekat Lahad Datu, pada Rabu malam. Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 9.46 malam. Menurutnya, anggota bomba menemukan mayat kanak-kanak lelaki itu di dalam bilik di rumah tersebut. "Sebaik tiba di lokasi kejadian, kebakaran dilaporkan membabitkan sebuah rumah terbakar sepenuhnya. "Pasukan bomba memadamkan kebakaran menggunakan dua aliran tiga pancutan dari sumber air jentera dan bili bomba," katanya dalam kenyataan, pada Khamis. Menurut jurucakap itu, sebuah jentera bersama Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan lapan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu digerakkan ke lokasi kejadian. Tambahnya, mayat mangsa kemudian ditemukan selepas kebakaran tersebut berjaya dipadamkan. "Mayat mangsa yang rentung ditemukan di dalam bilik pada pukul 10.59 malam. Operasi kemudian ditamatkan pada 12.45 tengah malam," katanya sambil menambah mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube