SUSPEK yang melepaskan enam das tembakan ke arah suami isteri di Simpang Renggam, Kluang, ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
Perintah reman ke atas suspek berusia 32 tahun yang dikenali sebagai Man Tiger itu dikeluarkan Majistret Mustaqim Sukarno pada Selasa, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api.
Terdahulu, mStar melaporkan sepasang suami isteri nyaris maut selepas rumah mereka di Kampung Bukit Batu, Machap, ditembak suspek dalam kejadian pada pukul 12.17 tengah hari, Isnin.
Bagaimanapun, kesemua enam das tembakan yang dilepaskan tersasar.
ARTIKEL BERKAITAN: Tembak suami isteri, Man Tiger diberkas polis
Kejadian bermula apabila Perodua Bezza yang dinaiki suspek memasuki kawasan kediaman pasangan berkenaan, sebelum menghampiri mangsa yang sedang berdiri di pintu hadapan rumah.
Salah seorang daripada tiga suspek kemudian mengeluarkan pistol dari pinggangnya, mengacukannya ke arah pasangan berkenaan sebelum melepaskan empat das tembakan.
Suspek kemudiannya melepaskan dua lagi tembakan ketika meloloskan diri.
Pasangan suami isteri itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan kerana peluru hanya terkena bingkai pintu dan sebuah meja di kawasan parkir kereta.
Suspek ditahan di tepi jalan di Jalan Setia 1, Pusat Perdagangan Setia, Simpang Renggam pada pukul 7 malam, hari yang sama.
Suspek yang tidak bekerja mempunyai 18 rekod jenayah lampau, termasuk sembilan kes berkaitan dadah.
Malah, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.