TINGGAL beberapa hari sahaja lagi sebelum kedatangan bulan Ramadan, sebuah keluarga di Kelantan diuji dengan kehilangan anak mereka yang berusia 19 bulan.
Kehilangan kanak-kanak lelaki dikenali sebagai Hud Aryan Mohd Nor Hafifi dari Kampung Aira Kuala Tiga, Tanah Merah itu dikongsi ibu saudaranya, Azean Nurfarah Amirah menerusi Facebook.
Menurut Azean, kehilangan kanak-kanak itu hanya disedari ahli keluarganya kira-kira pukul 7 malam, Isnin.
Pencarian yang dijalankan oleh pihak bomba turut disertai oleh polis dan penduduk kampung.
"Anak buah saya Hud Aryan hilang pukul 7 malam 24 Februari 2025. Misi pencarian ditangguhkan malam ini (Isnin) dan pagi esok (Selasa) akan dijalankan kembali. Baliklah Hud," tulis wanita itu.
Menerusi hantaran terbaharu di Facebook pada Selasa, Azean sekali lagi menggesa orang ramai agar menyalurkan bantuan dalam mencari mangsa.
"Kali terakhir (Hud) makan pukul 7 petang. Kanak-kanak lelaki (anak kakak saya) berusia setahun tujuh bulan hilang semalam hingga kini masih belum dijumpai.
"Minta bantuan kepada orang ramai dan sesiapa sahaja panjangkan berita ini, terima kasih," tulisnya lagi.
Tangkap layar mesej WhatsApp ahli keluarga kanak-kanak itu.
Difahamkan, mangsa baru sahaja diberi makan oleh ibunya.
Namun, kanak-kanak itu hilang selepas ibunya pergi ke dapur.
Kes kanak-kanak hilang itu turut disahkan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Negeri Kelantan.
Menerusi hantaran di Facebook pada Selasa, bomba negeri itu berkata pihaknya menerima laporan kira-kia 11.50 malam Isnin.
Operasi pencarian disambung pagi ini dan turut disertai pihak polis dan orang kampung.