suria

Pelajar perempuan maut digilis kereta... Motosikal langgar lubang, jatuh atas jalan

Mangsa disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke Hospital Besar Batu Gajah bagi menerima rawatan.

MALANG tidak berbau.

Seorang pelajar sekolah berusia 18 tahun maut digilis kereta selepas motosikal ditungganginya hilang kawalan akibat terlanggar lubang di Ipoh, Perak tengah hari Rabu.

Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, mangsa disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke Hospital Besar Batu Gajah bagi menerima rawatan.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila mangsa terlanggar lubang di bahu kiri jalan kemudian hilang kawalan.

"Mangsa melanggar fender kiri hadapan sebuah kereta di laluan sama sebelum terjatuh di atas jalan dan dipercayai digilis kereta tersebut.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di wad kecemasan akibat kecederaan parah di bahagian paha kanan dan kecederaan dalaman," ujarnya dalam satu kenyataan.

Ketika kejadian, mangsa menunggang motosikal dari arah Ipoh menuju ke Batu Gajah.

Pemandu kereta, seorang wanita warga tempatan berumur 40 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mana-mana saksi diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Muhammad Syafiq Fauze di talian 013-6713177 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain