suria

Teringin sangat miliki anak perempuan jadi punca peniaga pisang goreng culik 2 kanak-kanak

Penculik mengaku bersalah melarikan dua kanak-kanak itu dalam kejadian pada 19 Julai lalu.

PENIAGA pisang goreng yang ditahan susulan insiden penculikan dua kanak-kanak perempuan di Taman Ikan Emas, Jeram, Kuala Selangor, Selangor mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut.

Tertuduh, Mohamad Shahriza Othman, membuat pengakuan selepas dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Hajar Ali di Mahkamah Majistret Sungai Besar, Selangor pada Khamis.

Mengikut pertuduhan dibawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan, dia didakwa menculik dua kanak-kanak perempuan masing-masing berusia enam dan lapan tahun daripada penjaga yang sah.

Suspek berusia 32 tahun itu didakwa melakukan kesalahan itu di Taman Ikan Emas, Jeram, Kuala Selangor, pukul 6.30 petang, 19 Julai lalu.

Majistret Siti Hajar dalam penghakimannya menjatuhi hukuman penjara 12 dan 24 bulan yang dijalankan serentak serta denda RM1,000 bagi setiap kesalahan terhadap tertuduh, selain penjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.

“Tindakan (tertuduh) mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jelas menzahirkan kekesalan keinsafan amat sangat di atas insiden yang berlaku.

“Namun begitu hukuman dijatuhkan mahkamah harus bersifat deterrence (pencegahan) dan faktor kepentingan awam hendaklah diutamakan mahkamah.

"Ia agar memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang awam bahawa kesalahan menculik yang amat berleluasa adalah satu kesalahan serius pada pandangan mahkamah ini,” jelasnya ketika membacakan penghakiman.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis tahan lelaki larikan 2 kanak-kanak perempuan, suspek ada rekod jenayah lampau

Dalam prosiding pada Khamis, peguam mewakili tertuduh, Muhd Muqri Mohd Khairi daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon mahkamah mengurangkan hukuman terhadap anak guamnya yang bekerja sebagai peniaga dan mempunyai dua anak.

“Mohon mahkamah mengambil kira, OKT telah menghantar kedua-dua mangsa kepada penjaga. Kami dimaklumkan tujuan OKT berbuat demikian kerana OKT, menginginkan anak perempuan.

“Setakat ini belum rezeki dapat anak perempuan, anak OKT dua-dua anak lelaki,” jelasnya dihadapan Majistret.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Sofea Jaysal pula memohon agar satu hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh kerana melibatkan kepentingan awam.

Sebelum ini, Shahriza ditahan polis kira-kira pukul 2.40 pagi di rumahnya di Jeram pada 21 Julai lalu sebelum direman lima hari.

Untuk rekod, pada 19 Julai lalu, dua kanak-kanak perempuan berusia enam dan lapan tahun yang dilaporkan hilang, ditemui dalam keadaan selamat di Taman Kelisa, berhampiran rumah mangsa pada pukul 7.45 malam, kira-kira sejam selepas dilaporkan hilang.

Kedua-dua mangsa dipercayai dilarikan seorang lelaki dengan menaiki sebuah kereta Perodua Bezza.

Polis menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada ibu mangsa pada pukul 6.30 petang hari sama.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain