suria

Polis tahan remaja perempuan menyamar doktor, KKM sedia beri kerjasama penuh

Menyamar dan menggunakan identiti palsu merupakan satu kesalahan jenayah. -Gambar hiasan

SEORANG remaja perempuan ditahan selepas dipercayai menyamar sebagai pegawai perubatan di sebuah hospital kerajaan.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, satu laporan dibuat pada 7 Ogos selepas seorang gadis tidak dikenali ditemui di dalam bilik bedah.

Ujar beliau, remaja terbabit mendakwa dirinya sebagai pegawai perubatan yang ingin membantu pembedahan.

"Pada 8 Ogos kira-kira pukul 8.30 pagi, pihak hospital mengesan individu yang sama cuba mendaftar menggunakan identiti palsu.

"Susulan itu, polis dipanggil dan penahanan dibuat serta merta," katanya.

Tambah beliau, remaja perempuan berusia 14 tahun itu ditahan di lobi hospital dan polis merampas satu set alatan perubatan dan lanyard milik hospital.

Wan Kamarul Azran turut menggesa orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dan mengelak daripada menyebarkan maklumat palsu mengenai kes tersebut.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya mengambil serius berita atas talian mengenai remaja menyamar sebagai staf hospital di Serdang.

"Pada 7 Ogos 2024, pihak pengurusan Hospital Sultan Idris Shah (HSIS) Serdang telah menerima laporan mengenai tingkah laku mencurigakan seorang individu yang menyamar sebagai kakitangan yang bertugas di HSIS.

"Tindakan pantas pihak HSIS telah berjaya mengesan identiti individu terbabit dan laporan polis telah dilakukan. Siasatan awal mendapati individu tersebut telah menggunakan kad pengenalan palsu," katanya.

Susulan itu, pihak polis berjaya menahan individu terbabit pada Khamis dan KKM akan memberi kerjasama penuh bagi membantu siasatan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain