suria

Rumah kayu separuh kekal hangus dijilat api... Datuk, nenek serta cucu terkorban

Tangkap layar video kebakaran rumah mangsa yang dikongsikan di Facebook.

SEPASANG warga emas ditemukan rentung selepas rumah didiami mereka di Kampung Paya Redan, Pagoh di Johor hangus terbakar dalam kejadian awal pagi Jumaat.

Kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu mengorbankan Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, dan isteri, Ara Abdul Hamid, 76, yang berada di dalam rumah kayu separuh kekal.

Manakala cucu mereka, Noradriana Nor Hisyam, 11, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah di Muar, Johor.

Insiden itu turut menyebabkan seorang lagi cucu mereka, Norazima Mohd Radhi, 14, mengalami kecederaan pada kepala dan kini dirawat di hospital sama.

Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar, PBK II, Suhairuliar Saris, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.25 pagi.

“Pasukan Keluar Operasi (PKO) dikejarkan ke tempat kejadian dan setibanya di lokasi kejadian benar berlaku melibatkan sebuah rumah berkeluasan 40X60 kaki terbakar 85 peratus.

“Terdapat dua warga emas rentung dan dua cucunya cedera sebelum dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz mengesahkan kejadian itu.

Tambahnya, siasatan untuk mencari punca sebenar kejadian itu dijalankan oleh pihak pasukan bomba.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain