suria

Cedera di punggung, lelaki ditembak di luar restoran

Seorang lelaki cedera ditembak di Klang. -Gambar hiasan

SEORANG lelaki cedera ditembak dalam insiden tembakan di luar sebuah restoran di Bandar Bukit Tinggi di Klang, Selangor.

Dalam kejadian awal pagi Jumaat, mangsa yang berusia 45 tahun mengalami kecederaan di bahagian punggung kiri.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung insiden berkenaan daripada seorang lelaki yang merupakan pengawal keselamatan di restoran itu, pada pukul 2.55 pagi.

"Siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 2.15 pagi apabila sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) berhenti berdekatan restoran tersebut.

"Seorang lelaki turun daripada kenderaan itu sebelum bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arah beberapa individu yang berada di luar restoran," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, suspek kemudian melarikan diri menggunakan kenderaan sama sejurus selepas kejadian.

"Mangsa terkena tembakan di bahagian punggung sebelah kiri dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang. Mangsa dalam keadaan stabil.

"Siasatan lokasi kejadian menemukan lima butir kelongsong peluru, satu anak peluru, dua kesan tembakan pada kerusi dan dua kesan tembakan pada dinding restoran," katanya.

Siasatan berkaitan kes dijalankan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

"Polis dalam usaha mengesan serta memberkas individu yang terlibat dalam kejadian ini," ujarnya.

Sehubungan itu katanya, sebarang maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di talian 03-33762222 atau menghubungi mana-mana balai polis berhampir.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain