suria

Tragis! Pesara TM rentung bersama mesin rumput, insiden depan rumah tak disedari isteri dementia

Mayat Tunku Mahadzir ditemukan rentung di hadapan rumahnya.

MAYAT seorang lelaki yang ditemukan rentung di halaman sebuah rumah di Jejawi, Arau di Perlis merupakan pesara Telekom Malaysia (TM).

Mayat mangsa Tunku Mahadzir Tunku Ahmad, 75, dipercayai telah meninggal dunia selama dua hari sebelum ditemui orang awam yang melalui kawasan bangunan Majlis Perbandaran Kangar itu bersebelahan kediamannya.

Balu mangsa, Sharifah Puziah Syed Ali, 77, berkata, pada masa kejadian arwah suaminya sedang membersihkan semak samun di halaman rumah.

Dia yang terkejut apabila dimaklumkan tentang kematian arwah suami turut menyatakan tidak menyedari atau mendengar jeritan meminta pertolongan meskipun sedang berehat di dalam rumah.

Sementara itu, adik ipar Sharifah Puziah, Rosida Aziz, 60, berkata, kakak iparnya mempunyai ingatan yang agak terhad kerana mengalami dementia.

Menurutnya, Puziah ada memaklumkan telah membuka pintu selepas menyedari kepulan asap di luar rumah dan menyangkakan ia terhasil daripada sisa rumput yang dibakar suaminya.

Terdahulu, laman sosial kecoh dengan penemuan satu mayat rentung di halaman sebuah rumah di Jalan Jejawi, Arau petang Ahad.

Mayat ditemui orang awam pada pukul 6.33 petang di samping mesin pemotong rumput yang terbakar.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain