suria

Tragis! Kemalangan van langgar pokok libat 8 mangsa, hasrat keluarga bercuti di Krabi punah

Kemalangan ngeri jalan raya melibatkan sebuah keluarga.

SEORANG pesara tentera maut manakala tujuh lagi cedera apabila van dinaiki terbabas dan melanggar pokok di Kilometer 9, Jalan Kangar-Alor Setar sekitar Permatang Pauh, Pulau Pinang pada awal pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kangar, ACP Yusharifuddin Mohd Yusop berkata mangsa yang meninggal dunia berada di bahagian belakang van ketika kemalangan, dikenal pasti sebagai Mohd Arshad Hanapiah berusia 73 tahun.

Tambahnya, kesemua mangsa mempunyai hubungan kekeluargaan, dipercayai sedang dalam perjalanan dari Alor Setar menuju ke arah Kangar dan seterusnya memasuki Krabi, Thailand.

“Van dipandu Mohamad Syamel Morad, 29, terbabas ke sebelah kiri jalan lalu melanggar pokok jenis Tunjuk Langit, yang berada di bahu jalan.

“Pelanggaran itu menyebabkan pesara tentera tersebut meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu dan enam penumpang lain cedera.

"Enam penumpang terbabit terdiri daripada dua lelaki dan empat perempuan berumur dalam linkungan 11 hingga 73 tahun," katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

Jelas Yusharifuddin lagi, kemalangan berlaku ketika keadaan lokasi sedang gelap dan kurang pencahayaan lampu serta jalan basah akibat hujan lebat.

Mayat dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar, Perlis, manakala mangsa yang cedera turut mendapatkan rawatan di hospital sama.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain