MAHKAMAH Majistret di Selayang melepaskan dan membebaskan Inspektor Sheila daripada satu pertuduhan menghina kesopanan seorang peguam, tahun lalu. Pada Isnin, Majistret Nur Hafizah Rajuni memutuskan keputusan itu selepas saksi yang juga mangsa dalam kes tersebut enggan memberi keterangan terhadap Sheila atau nama sebenarnya Sheila Sharon Steven Kumar, 36. Pada 26 Jun tahun lalu, Sheila mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan menghina kesopanan P Taneswaran, 41, dengan berkata 'You (awak) tengok badan you, gemuk, botak dan badak sumbu'. Kesalahan itu didakwa dilakukan di Taman Sri Gombak dekat Selayang pada pukul 1 petang, 15 Jun 2023. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. Sementara itu, peguam Manoharan dilaporkan berkata, anak guamnya dibebaskan selepas mangsa memaklumkan tidak mahu meneruskan kes terhadap Sheila. Dalam prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Azmal. Sheila bagaimanapun masih berdepan dua lagi kes antaranya mengugut seorang wanita, M Silverkoomarie, 70, dengan niat mendatangkan kegentaran kepada mangsa pukul 12 tengah hari pada tarikh dan lokasi sama. Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. Bagi pertuduhan kedua mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, dia dituduh menyebut pangkat polis dengan cara tidak wajar kepada Lans Koperal Abdul Arif Farhan Abdul Razak dengan maksud mengaibkan kehormatannya di lokasi sama pukul 1.25 petang pada 15 Jun 2023. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube