suria

Lagi kes buli di UPNM... Pelatih tahun 1 retak tulang rusuk dan tulang belakang, dipercayai dipijak senior

Kes baharu dakwaan dibuli dilaporkan berlaku di UPNM.

SATU lagi kes dakwaan dibuli yang membawa kepada kecederaan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), dibongkar.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa, laporan mengenai dakwaan buli itu dibuat kira-kira pukul 8.40 malam, Jumaat.

Laporan itu berkata, mangsa yang merupakan pelatih tahun satu didapati cedera pada pukul 10.45 malam, 21 Oktober, selepas namanya dipanggil di tepi padang kawad.

“Mangsa berusia 19 tahun dilaporkan mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak pelatih tahun tiga.

“Mangsa kini sedang mendapatkan rawatan di hospital berhubung kecederaan yang dialami dan kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau turut menggesa semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu kerana siasatan masih dijalankan.

Pada 8 November, seorang kadet dari universiti itu telah dituduh di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya kerana menyebabkan kecederaan terhadap seorang remaja menggunakan seterika wap.

Amirul Iskandar Norhanizan, 22, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Egusra Ali.

Mengikut kertas pertuduhan, Amirul Iskandar didakwa secara sukarela menyebabkan kecederaan terhadap Muhammad Salman Mohd Saiful Surash, 20, dengan menggunakan seterika wap panas.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bilik asrama di akademi tentera, kira-kira pukul 11.45 malam, 22 Oktober lepas. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan