suria

FashionValet: SPRM analisis rungutan awam di media sosial, perlu ada merit untuk siasat

SPRM menjalankan siasatan berhubung kerugian pelaburan berjumlah RM43.9 juta yang dialami Khazanah dan PNB dalam FashionValet.

TIDAK hanya menerusi laporan rasmi, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini turut menggunakan pendekatan yang berbeza untuk mendapatkan maklumat berkaitan aktiviti rasuah atau ketirisan.

Antaranya termasuklah mendengar rungutan daripada orang awam di media sosial, kata Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki.

Tegasnya, SPRM tidak perlu menunggu laporan rasmi semata-mata sekiranya ia berkaitan dengan dana awam.

Bagaimanapun menurut Azam, setiap maklumat yang dibangkitkan di media sosial juga perlu dianalisis kesahihannya terlebih dahulu sebelum tindakan diambil.

ARTIKEL BERKAITAN: SPRM geledah rumah Vivy Yusof... Sita 11 beg tangan, seutas jam tangan mewah

ARTIKEL BERKAITAN: SPRM siasat kerugian pelaburan RM43.9 juta dalam FashionValet

"Banyak contoh-contoh yang sekarang ini akan berlaku dalam tindakan siasatan kami adalah berpunca daripada rungutan masyarakat yang disampaikan dalam pelbagai cara.

"Sebagai contoh mungkin tentang cerita mengenai pasangan pengasas FashionValet, cerita sebenarnya keluar daripada Parlimen yang menyebut tentang complaint yang dapat daripada masyarakat ada kalanya kita ambil, ada kalanya tidak.

"Kita boleh ambil daripada laporan lain walaupun menerusi media sosial dengan syarat ada pengesahan tertentu yang menyebabkan kita boleh ada merit untuk kita menjalankan siasatan dalam kes ini," ujarnya.

Azam berkata demikian ketika berucap sewaktu perasmian Pejabat SPRM Cawangan Keningau, pada Sabtu.

Tambah Azam, sejak 2020 dan selepas Covid-19, SPRM lebih proaktif dalam tindakan dan perlu berubah fokus dalam menjalankan siasatan, seiring dengan strategi untuk mengurangkan atau sebaik-baiknya bagi menghapuskan ketirisan.

"Bila saya cakap tentang menghapuskan ketirisan ini, kerana ia melibatkan duit rakyat.

"Bila bercakap tentang kehilangan (contoh) RM47 juta, mungkin pada sebahagian masyarakat mengatakan nilai itu kecil tetapi pada kami, ini duit kita semua, duit rakyat," ujarnya lagi.

Terdahulu, dilaporkan pengasas FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suami, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar disiasat SPRM susulan kerugian sebanyak RM43.9 juta yang dialami oleh Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam pelaburan membabitkan syarikat berasaskan fesyen itu

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan