suria

Malaysia kutuk serangan Israel di Lubnan, gesa PBB bertindak lindungi pasukan pengaman

Anggota Malbatt menerima rawatan akibat kecederaan yang dialami. -Foto MAHMOUD ZAYYAT/ AFP

MALAYSIA mengutuk sekeras-kerasnya serangan Israel di Sidon, Selatan Lubnan yang mengorbakan tiga orang awam serta mencederakan enam anggota pengaman Malaysia yang bertugas dalam Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unifil).

Dalam satu kenyataan pada Sabtu, Wisma Putra menggesa Majlis Keselamatan PBB mengambil tindakan segera, tegas dan bersepadu bagi memastikan keselamatan semua anggota pengaman.

"Serangan haram berterusan Israel mencabul Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa, Konvensyen Geneva dan Resolusi Majlis Keselamatan PBB 1701 yang merupakan asas kepada mandat Unifil untuk melaksanakan misi dan operasi di rantau tersebut.

"Peranan penting Unifil ini tidak boleh terjejas. Malaysia sekali lagi menegaskan keselamatan pasukan pengaman PBB serta petugas, konvoi dan infrastruktur misi kemanusian perlu sentiasa dilindungi dan diutamakan.

ARTIKEL BERKAITAN: 4 anggota Malbatt cedera dalam serangan dron tentera Israel

"Ini merupakan satu kewajipan di bawah undang-undang antarabangsa yang tidak boleh dikompromi dan harus dipatuhi oleh semua negara tanpa sebarang pengecualian," menurut kenyataan itu.

Khamis lalu, serangan rejim zionis Israel di Sidon mengorbankan tiga orang awam dan mencederakan enam anggota pengaman Malaysia serta tiga askar Lubnan.

Memetik kenyataan Tentera Darat Lubnan, kejadian berlaku ketika kenderaan membawa anggota pengaman Malaysia Battalion (Malbatt 850) yang bertugas di bawah Unifil sedang melalui sekatan jalan Tentera Lubnan.

Pasukan itu terdiri daripada 220 pegawai dan anggota lain-lain pangkat.

Serangan berlaku sejurus mereka tiba di Lubnan untuk meneruskan misi pengaman di bawah PBB.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan